RM3 bilion tingkat infrastruktur, pendapatan petani

RM3 bilion tingkat infrastruktur, pendapatan petani

ANWAR Ibrahim (tengah) menyampaikan Sumbangan Insentif Pembangunan Sektor Perikanan dan Tanaman kepada penerima di Majlis Sentuhan Madani Peringkat Negeri Kedah di Ibu Pejabat MADA, Alor Setar. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kira-kira RM3 bilion diperlukan kerajaan untuk meningkatkan infrastruktur berkaitan tanaman padi di negara ini termasuk dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang secara tidak langsung diyakini mampu meningkatkan pendapatan pesawah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelbagai program direncanakan antaranya Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) dan penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun yang sudah dilaksanakan projek rintisnya sebelum ini.

Kata beliau, perbincangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama MADA dan syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) telah dilakukan yang melihat keperluan RM3 bilion untuk menjayakan perkara itu sebagai agenda di bawah Dasar Agromakanan Negara (DAN).

“Mereka bagi pandangan dan kata kalau nak jayakan projek tanam lima musim dua tahun ini, kena ada beberapa infrastruktur tali air, jalan dan macam-macam (yang baik). Saya kata berapa (diperlukan), dia jawab bukan untuk tahun ini, kita mesti mula untuk dua tiga tahun akan datang, tiga tahun paling kurang, mesti siap RM3 bilion.

“Itu masalah saya (untuk cari RM3 bilion), boleh kita dok saja tapi RM3 bilion sikit ke banyak, banyak. Tapi kalau negara ini selamat daripada sakau, kita urus (dengan baik), jangan rasuah, jangan curi balak, jangan curi nadir bumi kita boleh selamatkan negara, RM3 bilion kita boleh selesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan Madani Peringkat Negeri Kedah bersama Peladang, Penternak, Nelayan, Penoreh dan Pekebun Kecil di Ibu Pejabat MADA di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan tiada pilihan untuk melakukan perkara itu kerana pesawah padi di negara ini masih tergolong dalam kategori miskin dan niat beliau adalah untuk meningkatkan pendapatan golongan itu sejak mengambil alih pentadbiran negara.

“Apa niat Anwar? Saya kata nak pastikan dengan kerjasama rakan-rakan saya bahawa nasib pesawah padi di bawah pentadbiran kita yang tegas dan cuba bersihkan daripada sakau ini nak tentukan pendapatan betul-betul tinggi daripada RM1,200 naik kepada RM1,800 sebulan.

“Dengan cara demikian kita boleh juga selesaikan masalah keterjaminan makanan. Kalau betul saya dan Kerajaan Perpaduan nak tolong kena buat. Tetapi larat ka orang tunggu sampai tiga tahun baru nak dapat hasil, sementara itu kita buat apa. Saya bagi RM200 sebulan untuk tiga bulan yang memanfaatkan 300,000 pesawah. Orang lain nak peleceh, pasal apa dulu tak buat,” tegasnya.

Sementara itu, Perdana Menteri meminta kerjasama semua pesawah serta pihak MADA, dan Bernas memberi peluang kepada kerajaan memperkenal kaedah dan cara untuk meningkatkan hasil.

“Kalau selama ini pulun la macam mana pun hasil terhad, dengan cara ini diharapkan dapat meningkatkan pengeluaran dan pendapatan melalui kerjasama MADA, Jabatan Pertanian dan Bernas untuk kita jayakan program ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN