KULIM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan berjumlah RM150 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara di seluruh negara.
Menurut beliau, dana itu adalah tambahan kepada peruntukan pembangunan (DE) berjumlah RM200 juta yang dibentangkan dalam Belanjawan 2023 bagi penyelenggaraan fasiliti kuarters beberapa agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Kata Anwar, beliau sebenarnya merancang untuk menangguhkan peruntukan tersebut ke tahun depan namun mengubah fikiran untuk menyegerakannya setelah melihat sendiri dan menilai laporan mengenai keadaan fasiliti serta infrastruktur terlibat.
“Untuk kerja-kerja penyelenggaraan kuarters PDRM termasuk ibu pejabat, saya luluskan peruntukan berjumlah RM50 juta. Selain itu, sebanyak RM45 juta lagi diluluskan khusus untuk penambahan dan naik taraf, serta perolehan peralatan 117 pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Saya luluskan RM45 juta bagi PGA itu segera. Apabila saya kata segera, maknanya hari Isnin ini wang mesti disalurkan dan saya akan bincang dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Ketua Setiausaha Kementerian bagi mempercepatkan projek tersebut.
“Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) itu pula tempat orang bertarung nyawa tetapi pejabat sementaranya hanya rumah kedai dan berselerak. Jadi saya luluskan RM40 juta untuk infrastruktur dan fasiliti berkaitan ESSCOM,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap dalam Program Malaysia Madani Bersama Warga Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM di Dewan Serbaguna Batalion 2, PGA Kulim di sini, hari ini.
Bagi kerja-kerja pembaikan kuarters dan kemudahan Jabatan Penjara pula beliau meluluskan peruntukan berjumlah RM15 juta.
Kata Perdana Menteri, kali terakhir projek perumahan secara besar-besaran diteliti adalah sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan dahulu.
“Selepas itu rumah-rumah itu lama terbiar dan nampaknya seperti kita tak sempat dan tak mampu tunggu sampai tahun depan bagi luluskan peruntukan ini,” katanya.
Mengulas infrastruktur serta kemudahan yang teruk dan terbiar selama puluhan tahun itu termasuk dalam pelbagai sektor lain seperti kesihatan serta pendidikan, Anwar berkata, anggota keselamatan yang mempertahankan negara harus bertanya mengapa perkara sebegitu boleh berlaku di sebalik kekuatan, hasil dan dana yang besar dimiliki negara selama ini.
“Apa salahnya dan di mana kelemahannya? Adakah benar kita tiada wang atau ada kelemahan besar, ketirisan, penyelewengan dan rasuah berbilion ringgit?
“Saudara diminta mempertahankan negara dan tak harus campur urusan politik kepartian tetapi saudara juga adalah warganegara yang harus kritis dan tahu mengenai perkara ini. Jangan hanya gunakan slogan seperti ‘Hidup Melayu’ dan ‘Hidup Islam’ tetapi tiada perubahan sama sekali dalam sistem di negara ini,” katanya. –UTUSAN








