KUALA LUMPUR: Kehadiran pelakon, Norreen Iman di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini mengundang tanda tanya dalam kalangan media.
Norreen atau Norreen Iman Abdullah, 32, dilihat hadir mengenakan jubah hitam bagi mengikuti prosiding lafaz cerai yang difailkannya pada April lalu.
Turut kelihatan di mahkamah ialah suaminya, Mohd Raizi Abd Razak.
Bagaimanapun, ketika disapa media sejurus keluar dari dewan perbicaraan kira-kira pukul 1.30 tengah hari, pelakon filem Mikael: Pemburu Dua Alam itu enggan mengulas lanjut mengenai kehadirannya.
“Senyum, saya cuma rasa lapar saja sekarang ini,” katanya ringkas yang dilihat tidak ditemani peguam syarie.
Terdahulu, timbul spekulasi mengenai keretakan rumah tangga mereka apabila Norreen dilihat tidak lagi berkongsi gambar bersama suami di media sosial.
Namun, pelakon itu menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan lebih selesa menjaga privasi keluarga.
Untuk rekod, Norreen dan Mohd Raizi mendirikan rumah tangga pada 2011 dan dikurniakan dua cahaya mata. -UTUSAN










