PRN: Pesanan akhir arwah bapa jadi azimat Zamri Mantop - Utusan Malaysia

PRN: Pesanan akhir arwah bapa jadi azimat Zamri Mantop

Mohd. Zamri
MOHD. Zamri Mohd Zainuldin menziarah pusara bapanya di Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudhah, Tanjong Karang, Kuala Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Pesanan terakhir arwah bapa supaya terus menyantuni dan berkhidmat kepada rakyat menjadi azimat Mohd. Zamri Mohd Zainuldin untuk kekal bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong.

Bapa kepada calon Perikatan Nasional (PN) itu, Allahyarham Mohd. Zainuldin Mohd. Jainuddin, 77, meninggal dunia akibat penyakit asma di Hospital Sungai Buloh, pukul 7.32 pagi semalam iaitu sehari sebelum beliau perlu hadir ke pusat penamaan calon.

Mohd. Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Tanjong Karang berkata, beliau menerima khabar duka itu ketika dalam perjalanan mengambil watikah pencalonan di Shah Alam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya kemudian membatalkan hasrat itu dan segera ke hospital yang sudah dipenuhi semua ahli keluarga.

“Biarpun masih bersedih, pesanan arwah supaya memberi khidmat terbaik kepada rakyat menjadi penyuntik semangat untuk saya terus bertanding dalam pilihan raya ini,” katanya ditemui ketika menziarah pusara bapanya, hari ini.

Terdahulu, beliau disahkan berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Khir Ramli selepas penamaan calon di Dewan Dato’ Hormat, Tanjong Karang, hari ini.

Tambahnya, beliau yang dikenali sebagai Ustaz Zamri Mantop, arwah seorang ahli dan penyokong Pas sentiasa mahu dia berdamping dengan komuniti setempat.

“Arwah memang sentiasa latih saya mendekatkan diri berjumpa dengan masyarakat contohnya pergi kenduri. Ini sebagai persiapan mental yang kuat bagi saya pada peringkat awal ini,” ujarnya.

Ditanya mengenai persediaan saingan dua penjuru itu, Mohd. Zamri berkata, saingan dihadapi sengit dan fokus untuk bertanding secara sihat, matang dan sejahtera bagi menyuburkan proses demokrasi di negara ini.

“Kita serius membawa rakyat berfikir bagaimana hendak bawa negara dan negeri ini pada masa depan,” katanya.

Untuk rekod, kerusi DUN Sungai Burong dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Shamsudin Lias dengan majoriti 8,741 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Mohd. Zamri ketika itu tewas dengan memperoleh 6,411 undi manakala calon PKR, Mohd. Tarmizi Lazim iaitu 5,323 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN