PRN: Peluang jadi wakil rakyat selepas 15 tahun berkhidmat - Utusan Malaysia

PRN: Peluang jadi wakil rakyat selepas 15 tahun berkhidmat

MOHD. NAIM Salleh (kiri) bergambar bersama Mohd. Yusni Mat Piah selepas menyerahkan borang penamaan calon untuk PRN Pulau Pinang bagi kerusi DUN Penaga di Dewan Millenium Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: “Inilah peluang yang datang (untuk menjadi wakil rakyat) selepas 15 tahun saya berada dalam parti yang mewakili rakyat ini.”

Itu kata calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga, Mohd. Naim Salleh, 43.

Mohd. Naim berkata, dalam tempoh itu juga, dia kerap ‘turun padang’ untuk bertemu dengan penduduk serta pengundi di kawasan tersebut.

“Semasa berada dalam Pemuda dan UMNO Kepala Batas, itulah yang saya buat. Bukan sahaja (turun) untuk berkempen, tapi, saya dah turun Penaga ini sejak bertahun-tahun (untuk mendengar suara rakyat).

“Saya orang situ (Penaga), anak jati situ. Keluarga saya juga di situ. Mungkin ini (pencalonan) boleh menjadi pilihan kepada pengundi di Penaga (dalam memilih wakil rakyat),” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Tambah Ketua Pemuda UMNO Kepala Batas itu, isu kemudahan infrastruktur serta beberapa kemudahan lain untuk rakyat akan dijadikannya sebagai bahan kempen menjelang hari pengundian pada 12 Ogos ini.

Dalam pada itu, lawan Mohd. Naim iaitu penyandang kerusi DUN Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah yang mewakili Perikatan Nasional (PN) yakin dapat mempertahankan kerusi tersebuf dengan sokongan yang diterima daripada rakyat ketika ini.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Pas III Pulau Pinang itu, antara isu yang akan dibangkitkan sepanjang kempen nanti ialah berkaitan kenaikan kos sara hidup yang terus membelenggu rakyat.

“Isu setempat yang masih berada dalam perhatian saya pula ialah berkaitan masalah kesesakan yang masih belum ada pengakhiran di Pulau Pinang termasuk di Penaga ini,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum yang ke-14 (PRU-14) lalu, Mohd. Yusni.berjaya merampas kerusi DUN daripada BN selepas memperoleh majoriti 1,132 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya