PRN: Pas letak calon terbanyak di Kedah

PRN: Pas letak calon terbanyak di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENETAPAN tarikh pilihan raya negeri (PRN) melibatkan enam buah negeri termasuk Kedah yang dikatakan paling menjadi tumpuan menandakan ‘perang tidak rasmi’ antara Perikatan Nasional (PN) dengan Pakatan Harapan (PH) yang bersama Barisan Nasional (BN) bermula.

Kedah yang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi penggal ke-14 pada 28 Jun lalu memiliki 36 kerusi yang bermakna sekurang-kurangnya 72 calon akan dinamakan parti masing-masing jika melibatkan pertandingan dua penjuru.

Namun, jika Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mahu cuba menguji kekuatan mereka di Kedah, tidak mustahil pertambahan sehingga lima ke 10 lagi calon pada hari penamaan calon 29 Julai ini di kerusi tertentu.

Bagi dua blok utama iaitu PN serta gabungan PH dan BN di negeri berkenaan, kerusi yang mahu diagihkan mereka dilaporkan selesai dirundingkan.

PN selaku parti kerajaan di Kedah paling awal mengesahkan mereka selesai membahagikan kerusi antara Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sebelum ini.

Namun, perincian berapa kerusi atau kawasan diwakili calon parti mana belum dimaklumkan kecuali Gerakan yang mana Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mendedahkan mereka diberi tiga kerusi. Ini bermakna 33 kerusi lagi akan ditandingi Pas dan Bersatu.

Melihat kekuatan Pas yang menunjangi Kerajaan Negeri Kedah ketika ini, tidak mustahil parti itu akan mendominasi senarai calon dalam PN di sekurang-kurangnya 20 kerusi termasuk 15 kerusi yang disandang sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Bersatu yang melengkapkan kerajaan PN Kedah de­ngan enam wakil rakyat ketika ini berpeluang mempamerkan kewibawaan calon mereka di setidak-tidaknya 10 ke 11 kerusi DUN.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah enggan mendedahkan lagi maklumat itu walaupun sudah mengetahui kuota kerusi antara partinya, Bersatu dan Gerakan khususnya di Kedah.

“Saya tak boleh umum lagi tapi saya tau dah. Kalau umum depa (lawan) tau depa ada lah strategi-strategi tertentu, (jadi) kena rahsia dulu, benda rahsia kita rahsiakan.

“Hari penamaan calon kita akan umumkan siapa bertan­ding di mana, kena (buat) macam itu tak kan tak ada rahsia apa langsung,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar pula memaklumkan Parti Amanah Negara (Amanah) iaitu parti diwakilinya diberi lapan kerusi untuk bertanding dan kemungkinan DAP kekal dua kerusi disandang mereka di Derga dan Kota Darul Aman.

Berdasarkan statistik itu, PKR mungkin jadi parti kedua terbesar dalam Kerajaan Perpaduan yang dilapor akan diberi hingga 11 kerusi.

Ini kerana, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi bayangan mereka me­lalui wakil UMNO akan bertan­ding di sekurang-kurangnya 15 kerusi DUN pada PRN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×