PRN: Dominic ke Machang Bubuk, Iszuree calon PN di Bayan Lepas? - Utusan Malaysia

PRN: Dominic ke Machang Bubuk, Iszuree calon PN di Bayan Lepas?

DOMINIC LAU dan ISZUREE IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kontroversi mengenai pencalonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau hampir pasti terungkai apabila beliau dinamakan sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machang Bubuk.

Nama Dominic yang juga Presiden Gerakan itu tersenarai dalam senarai calon baharu yang diedarkan kepada media di sini hari ini.

Pada majlis pengumuman calon PN oleh Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee malam tadi, nama Dominic tidak diumumkan bertanding di mana-mana kerusi manakala calon asal yang diumumkan di kerusi Machang Bubuk ialah Tan Hum Wei juga dari Gerakan.

Turut tidak diumumkan adalah calon bagi kerusi DUN Bayan Lepas.

Difahamkan, ia berikutan kontroversi bantahan ahli akar umbi Pas Cawangan Bayan Lepas yang menolak pencalonan Dominic di kerusi terbabit yang merupakan majoriti pengundi Melayu.

Malah, dalam perhimpunan aman sekumpulan ahli akar umbi Pas Cawangan Bayan Lepas petang semalam, mereka turut mengancam akan memboikot PRN kali ini sekiranya pencalonan Dominic di kerusi tersebut diteruskan.

Sementara itu, berdasarkan senarai baharu calon PN yang diterima media hari ini, Setiausaha Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim dinamakan sebagai calon DUN Bayan Lepas.

Bagaimanapun, Iszuree ketika dihubungi berkata, setakat pukul 12 tengah hari tadi, beliau masih belum menerima apa-apa maklumat mengenai namanya yang dikatakan sebagai calon PN bagi kerusi DUN Bayan Lepas.

“Saya tiada maklumat mengenai hal ini,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, keputusan muktamad mengenai siapa yang akan bertanding di DUN Bayan Lepas itu akan diumumkan oleh pimpinan PN Pusat menerusi satu kenyataan media dalam tempoh terdekat.

“Pimpinan Pusat yang akan umumkan mengenai calon PN DUN Bayan Lepas, kami pun masih menunggu keputusan mengenai hal ini.

”Mengenai senarai nama yang baharu diedarkan itu, siapa-siapa pun boleh buat senarai nama baharu itu, kita tunggu pengumuman PN Pusat nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya