IPOH: Polis telah merakam keterangan lima individu berhubung kes melepaskan tembakan di hadapan rumah peniaga di Kuala Gula dekat Bagan Serai semalam.
Dalam kejadian pukul 3 pagi itu, seorang lelaki bertopeng melepaskan lima das tembakan ke arah rumah peniaga itu di mana telah mengenai kereta, motosikal serta pintu rumah mangsa.
Pemeriksaan Bahagian Forensik (D10) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menemukan lima kelongsong peluru kaliber 9mm di lokasi kejadian.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif suspek bermotosikal itu bertindak demikian.
Katanya, siasatan merangkumi pelbagai aspek termasuk faktor perniagaan, persaingan dan sindiket.
“Pihak polis akan menyelesaikan kes ini dan melengkapkan kertas siasatan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Meniti Karier Dalam PDRM anjuran Dewan Perhimpunan Cina Perak di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yuk Choy di sini hari ini.
Sementara itu dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, 20 peratus daripada lebih 9,700 pegawai dan anggota polis Kontinjen Perak diatur gerak ke Pulau Pinang, Kedah dan Selangor yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Katanya, jumlah anggota yang terlibat telah diserahkan ke Bukit Aman selaras dengan arahan pucuk pimpinan.
“Kita ada menerima arahan untuk kenal pasti anggota-anggota untuk kita beri bantuan kepada negeri yang menghadapi PRN.
“Setakat ini kita menyerahkan 20 peratus daripada kekuatan polis di Perak dan Bukit Aman yang akan menentukan jumlah kekuatan dari negeri ini untuk diberikan ke negeri jiran yang mengadakan PRN,” katanya. – UTUSAN










