PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi sulung ke Vietnam atas jemputan rakan sejawatnya, Pham Minh Chinh.
Dalam rangka lawatan dua hari bermula hari ini, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Minh Chinh untuk memperhalusi kemajuan pelaksanaan Pelan Tindakan 2021 – 2025 di bawah Kerangka Perkongsian Strategik Malaysia – Vietnam.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan kunjung hormat ke atas Presiden Vietnam, Vo Van Thuong serta beberapa pertemuan dengan pemimpin utama negara berkenaan iaitu Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong dan Pengerusi Dewan Rakyat Vietnam, Vuong Dinh Hue.
“Dalam lawatan ini, Perdana Menteri juga dijangka menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MOU) antara beberapa kementerian dan agensi Malaysia dengan pihak Vietnam dalam pelbagai sektor yang akan meningkatkan pelaburan dan perdagangan kedua-dua negara.
“Program rasmi Perdana Menteri di Hanoi juga termasuk menghadiri Persidangan Perniagaan Bersama Malaysia-Vietnam dan sesi bertemu diaspora Malaysia,” katanya dalam kenyatana hari ini.
Menurut Wisma Putra, lawatan rasmi ini dijangka mengukuhkan hubungan yang tersedia erat di antara Malaysia dan Vietnam selaku negara jiran dan rakan kongsi dalam ASEAN.
Katanya, Tahun 2023 merupakan sambutan Jubli Emas penubuhan hubungan diplomatik dan lawatan ini membuka ruang kepada kedua-dua negara untuk memperkukuhkan lagi hubungan yang terjalin.
Untuk rekod, jumlah dagangan dua hala di antara Malaysia dan Vietnam pada tahun lalu meningkat sebanyak 23.1 peratus, daripada AS$16.74 bilion (RM69.40 bilion) pada 2021, kepada AS$19.44 bilion (RM85.40 bilion) pada 2022.
Malaysia merupakan pelabur kesembilan terbesar di Vietnam dengan jumlah pelaburan sebanyak USD13.06 bilion. – UTUSAN