BATU PAHAT: Kira-kira 80 petani di Kampung Kelicap dan Sungai Suluh di Tanjung Laboh, dekat sini terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit apabila tanaman yang diusahakan ditenggelami air masin hampir sepanjang tahun.
Mereka mendakwa, kejadian yang bermula sejak 2018 berpunca daripada benteng penahan air laut pecah dan tidak diselenggara dengan sempurna menyebabkan air masin masuk setiap kali air pasang.
Seorang petani, Mazlan Ithnin, 58, berkata, tanaman kelapa matag, tacunan dan pandan selain kelapa sawit bukan sahaja tidak menghasilkan buah yang baik, malah banyak pokok mati.
Tanaman yang diusahakan penduduk sejak 1976 sebelum mendapat geran hak milik tanah pada 1980 mampu menghasilkan pendapatan RM150,000 setahun bagi setiap petani.
“Daripada sepanjang tiga kilometer benteng yang dibina untuk menahan air laut memasuki kebun, hanya kira-kira 300 meter menggunakan batu, selebihnya tanah sahaja.
“Akibatnya beberapa kawasan berlaku runtuhan dan menyebabkan air laut masuk ke dalam kebun, sekali gus bertakung sepanjang hari,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mazlan yang juga pesara kerajaan memaklumkan, air laut itu lambat mengalir keluar kerana pintu air hanya satu serta terpaksa menunggu air Sungai Suluh kering sebelum air laut boleh mengalir keluar.
Akibatnya, tanaman yang terendam lama akan mati selain tidak boleh mengeluarkan hasil menyebabkan semua petani kehilangan hasil pendapatan.
Seorang penduduk Kampung Kelicap, Nordin Daiman, 68, pula berkata, penduduk yang mengusahakan tanaman kontan seperti pisang, betik dan jambu turut terjejas.
“Kami mengharapkan agar ada tindakan drastik serta benteng yang dibaiki boleh bertahan lama selain inisiatif mengeluarkan air dalam tempoh singkat supaya kebun dapat diusahakan dengan baik.
“Buah kelapa yang dihasilkan penduduk di sini adalah sebahagian daripada hasil pengeluaran negeri Johor bagi menampung keperluan seluruh negeri,” katanya. – UTUSAN










