Pesara rugi lebih RM500,000 diperdaya pelaburan wang kripto - Utusan Malaysia

Pesara rugi lebih RM500,000 diperdaya pelaburan wang kripto

MOHD. YUSRI HASSAN BASRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang pesara kerugian RM542,171.20 selepas terjerat dengan pelaburan mata wang kripto yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, mangsa berusia 70 tahun itu terjebak dengan sindiket tersebut selepas melihat iklan tawaran skim pelaburan berkenaan ketika melayari Facebook di rumahnya di Hutan Melintang pada 8 Januari lalu.

Katanya, laman Facebook dengan nama Najwan Islamic beralamat di Singapura itu menawarkan perkhidmatan pembelian saham mata wang kripto di Amerika Syarikat.

“Mangsa telah berhubung dengan pemilik laman sosial itu melalui WhatsApp di mana suspek meminta maklumat peribadinya termasuk nombor kad pengenalan dan akaun bank bagi tujuan dokumentasi pelaburan.

“Mangsa memulakan pelaburan dengan membeli dua unit saham bernilai RM500 dengan wang pembelian dimasukkan ke dalam akaun bank tempatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa diberitahu oleh suspek yang dia akan mendapat semula wang pelaburan berjumlah RM4,950 selain keuntungan sebanyak RM4,500 dalam masa satu hari.

Katanya, suspek juga mendakwa keuntungan daripada pelaburan itu akan meningkat sekiranya mangsa tidak mengeluarkan wang berkenaan.

“Dua hari selepas itu, mangsa telah menghubungi suspek dan dimaklumkan bahawa keuntungannya kini berjumlah RM18,500 namun dia perlu membuat pelbagai bayaran bagi mendapatkan keseluruhan hasil pelaburan.

“Mangsa yang tertipu telah membuat 133 transaksi pindahan wang secara dalam talian ke dalam 39 akaun bank tempatan berjumlah RM542,171.20 sejak Januari lalu hinggga kini,” katanya.

Tambah beliau, mangsa menyedari ditipu selepas suspek memberi pelbagai alasan ketika lelaki itu mahukan wang semula selain tidak lagi membalas pesanan WhatsApp.

“Wang yang dilaburkan mangsa dalam skim tersebut merupakan hasil wang simpanan dan persaraannya serta isteri.

“Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Intan semalam pada pukul 4.34 petang dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN