Pesara berperanan penting bantu wujudkan kemakmuran, kesejahteraan - Utusan Malaysia

Pesara berperanan penting bantu wujudkan kemakmuran, kesejahteraan

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berangkat ke Majlis Santapan Diraja sempena Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-34 PPKM di Ipoh semalam. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Santapan Diraja sempena Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-34 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) 2023 di sini, semalam.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Presiden PPKM, Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh.

Sultan Nazrin berkenan menyempurnakan montaj Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-34 PPKM.

Hadir sama, Yang Dipertua PPKM Negeri Perak yang juga Naib Presiden PPKM, Datuk Mohamed Hamzah.

Berucap pada majlis tersebut, Saarani berkata, berbekalkan pengalaman sebagai penjawat awam dalam pelbagai bidang meliputi pentadbiran jabatan, perkhidmatan pendidikan, perkhidmatan keselamatan dan penguatkuasaan, menjadikan golongan pesara sebagai sebahagian daripada aset penting dalam merekayasa pembangunan negara.

Menurutnya, sepanjang perkhidmatan, penjawat awam telah dilatih dan diasuh dengan segala kemahiran, keterampilan diri, tatasusila, jati diri, kesopanan dan nilai-nilai murni sehingga diangkat menjadi insan yang dihormati.

“Justeru itu, penjawat awam adalah antara kelompok insan yang bertuah kerana terlatih dari segi mental, spiritual, fizikal dan kepimpinan,” katanya.

Menurutnya, dunia perkhidmatan awam telah mengajar segala-galanya mengenai kehidupan, pengorbanan dan kejayaan.

Beliau berkata, latihan, pengalaman, pergaulan, hubungan dengan rakan-rakan dan rangkaian jabatan tempat bekerja menjadi aset dan pembelajaran yang sangat berharga untuk memberi perkhidmatan terbaik.

“Tanpa disedari, segala ilmu, kemahiran dan pengalaman ini menjadi aset penting dan bernilai apabila kita menempuhi dunia persaraan,” katanya.

Menurut Saarani, terdapat kira-kira 60,000 pesara dan sebahagian besarnya menjadi ahli-ahli masyarakat yang memainkan peranan penting di peringkat kampung dan kejiranan masing-masing sekaligus terlibat secara tidak langsung dalam mewujudkan kemakmuran dan kesejahteraan di negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pandangan dan saranan para pesara dengan berkongsi pengalaman berharga mereka semasa bertugas sebagai penjawat awam.

“Dalam konteks negeri Perak, pesara kerajaan boleh sama-sama membantu dan memberikan sumbangan bermakna melalui pembabitan bersama dalam menjayakan pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 khususnya melalui Program Flagship ke-17 iaitu Komuniti Perak Sejahtera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN