Perluas Seksyen 17A Akta SPRM ke penjawat awam

Perluas Seksyen 17A Akta SPRM ke penjawat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merupakan undang-undang un­tuk mengheret organisasi ko­mersial jika kakitangan terlibat rasuah perlu diperluaskan kepada penjawat awam sekiranya kerajaan serius melakukan reformasi undang-undang negara ini.

Buat masa ini, undang-undang itu hanya terpakai kepada organisasi korporat yang me­nyaksikan sesebuah syarikat boleh didakwa dan dihukum sekiranya membenarkan kakitangan melakukan rasuah untuk memperoleh projek atau mendapat apa-apa faedah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim menjelaskan, idea memperluas Seksyen 17A itu kepada kakitangan kerajaan adalah satu usaha yang penting bagi mengawal budaya rasuah yang semakin berleluasa kebe­lakangan ini.

Jelasnya, transformasi undang-undang melalui penerapan perkara liabiliti korporat kepada penjawat awam akan memberi kesan besar dalam meningkatkan akauntabiliti dan mencegah rasuah dalam sektor awam.

“Ia pasti memberikan kesan pencegahan segera dan menyediakan hukuman yang lebih tegas terhadap penjawat awam yang terlibat dalam aktiviti rasu­ah.

“Namun, keputusan me­laksanakan perubahan ini ha­­rus melalui proses kajian dan perbincangan yang komprehensif untuk memastikan kese­suaian dan keadilan dalam penguatkuasaan undang-undang di Malaysia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan sedang merintis beberapa usaha transformasi undang-undang negara.

Ketika menyampaikan ucaptama Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia 2023, Anwar berkata, selain menghapuskan hukuman mati mandatori, kerajaan selepas ini mahu mengkaji Akta Perlindu­ngan Pemberi Maklumat.

Dalam pada itu, Jais menggesa kerajaan menyegerakan Akta Pendanaan Politik memandangkan perkara itu merupakan satu usaha penting dalam pembaharuan undang-undang di sam­ping meluluskan Akta Lompat Parti pada tahun lalu.

Katanya, meskipun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Azalina Othman Said mengatakan perkara itu masih dalam peringkat perbincangan Jawatankuasa Pilihan Parlimen, ia tidak boleh dilengahkan memandangkan usaha draf undang-undang itu telah berlaku sejak 2017 lagi.

Beliau menjelaskan undang-undang mengenai pendanaan politik yang lebih ketat dan te­lus akan membantu mencegah penyalahgunaan kuasa, me­ngawal pengaruh kewangan dalam politik dan memastikan proses politik yang lebih adil dan demokratik.

Selain itu, Jais memberitahu, sudah tiba masanya kerajaan menambah baik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terutamanya melibatkan proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya dan pemberian kuasa autonomi serta mengiktiraf sebagai sebuah badan berperlembagaan sendiri di bawah Parlimen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN