Perkeso buka pusat dialisis di Klang

Empat punca penyakit NCD faktor utama Perkeso buka pusat dialisis di Klang

Sivakumar (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed ketika menyantuni seorang pesakit yang menerima rawatan di Pusat Dialisis PERKESO di Klang pada Khamis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Analisis Program Saringan Kesihatan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) mendedahkan bahawa empat masalah kesihatan iaitu diabetes, obesiti, kolesterol dan darah tinggi menjadi faktor kegagalan buah pinggang sehingga mengundang penyakit buah pinggang kronik (CKD).

Penelitian terperinci menerusi analisis yang dilaksanakan pada tahun 2022 itu menyaksikan sebanyak 61.2 peratus daripada 27,152 pekerja mengalami masalah kolesterol tinggi, diikuti 42 peratus (obesiti), 27.9 peratus (darah tinggi) dan kencing manis sebanyak 14.1 peratus, sekali gus menjadikan faktor penyakit tidak berjangkit (NCD) itu menjadi penyumbang utama terhadap masalah kegagalan buah pinggang.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, pesakit buah pinggang dalam kalangan pekerja yang mencarum dengan PERKESO meningkat kepada 9,000 orang setiap tahun dan keadaan itu dibimbangi memberikan kesan kepada pencarum serta produktiviti mereka.

“Peratusan peningkatan ini amat membimbangkan kerana kesannya bukan sahaja menyebabkan Orang Berinsurans tidak dapat bekerja, kehilangan pekerjaan atau pendapatan mereka berkurangan, malah keluarga mereka juga hilang punca rezeki.

“Seterusnya, negara juga akan kehilangan aset sumber manusia yang sangat berharga, yang menyumbang kepada produktiviti dan perkembangan ekonomi,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Pejabat PERKESO Klang dan Pusat Dialisis PERKESO (Cawangan Klang), semalam.

Beliau memaklumkan, pembukaan pusat dialisis di Pejabat PERKESO Klang itu akan memudahkan pencarum untuk mendapatkan rawatan secara percuma.

Pembukaan Pusat Dialisis PERKESO di sini menjadikan badan berkanun itu kini memiliki tiga pusat dialisis di bawah pengurusan Nephrocare Management Sdn Bhd (NMSB), dengan dua lagi masing-masing di Kluang dan Batu Pahat, Johor.

Di cawangan Klang, PERKESO mempunyai enam mesin dialisis yang kini digunakan oleh 25 pesakit sejak Februari lalu untuk menjalani rawatan tiga kali seminggu dan bakal menerima tiga mesin lagi dalam masa terdekat.

Malah, pada masa akan datang cawangan tersebut juga akan memiliki 25 mesin dialisis apabila tambahan 16 lagi sedang menunggu kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam pada itu, Sivakumar pada sidang akhbar program sama memberitahu, PERKESO mempunyai perancangan untuk membuka cawangan pusat dialisis lain seperti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Pahang dan Terengganu.

“Apabila kemudahan dialisis diperkenalkan PERKESO pada 1999, kos ditanggung adalah RM1.12 juta. Sejak itu kos terus meningkat kepada RM334.67 juta pada tahun 2022 dan dijangka akan mencecah lebih RM500 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Untuk tempoh antara Januari hingga Mei 2023, saya dimaklumkan PERKESO mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM145.3 juta untuk membiayai kemudahan rawatan dialisis dan kos ini dijangka akan terus meningkat. Ini kerana PERKESO menerima antara 2,000 hingga 3,000 permohonan baharu untuk kemudahan dialisis pada setiap tahun,” jelasnya.

Katanya lagi, perkhidmatan pusat dialisis yang disediakan PERKESO dapat meringankan beban pesakit dan ahli keluarga memandangkan peruntukan kos rawatan sekitar RM2,000 akan ditanggung oleh PERKESO. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya