PETALING JAYA: TotalEnergies sebuah syarikat tenaga Perancis menyatakan komitmen dan bersetuju untuk mempertingkatkan pelaburan dalam sektor huluan minyak dan gas serta terus meneroka peluang dalam bidang penyimpanan karbon di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dizahirkan ketika mengadakan pertemuan bersama Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies, Patrick Pouyanne di Riyadh, Arab Saudi.
Menurut beliau, TotalEnergies telah bertapak sejak 1984 di Malaysia dan memiliki pelaburan dalam pelbagai sektor antaranya tenaga boleh diperbaharui, elektrik, minyak dan penyimpanan karbon.
“Alhamdulillah dalam pertemuan ringkas ini, TotalEnergies menyatakan komitmen dan bersetuju untuk mempertingkatkan pelaburan dalam sektor huluan minyak dan gas serta terus meneroka peluang dalam bidang penyimpanan karbon di Malaysia.
“Semoga pelaburan ini dapat direalisasikan sesegera mungkin dan mencetus limpahan kemakmuran buat rakyat Malaysia, khususnya dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perkongsian pengetahuan,” katanya dalam Facebook beliau.
Terdahulu, Anwar memaklumkan beliau memenuhi jemputan Pouyanne untuk bertemu di sela Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) yang berlangsung di Riyadh.
Anwar kini mengetuai delegasi Malaysia berada di Riyadh untuk menghadiri Mesyuarat Khas WEF selama dua hari sehingga hari ini.
Sebelum ini, Anwar berkata, persidangan itu antara lain akan menyentuh perkara-perkara terkait kepentingan negara, bermula dengan sesi Plenari Pembukaan bertemakan Visi Baharu Pembangunan Global.
Dalam sesi tersebut, Perdana Menteri berkongsi strategi dasar luar Malaysia yang berjaya membina hubungan yang baik serta mengimbangi pengaruh kuasa besar ekonomi dunia antara Amerika Syarikat dan China menerusi pendekatan bijaksana.
Menurut Anwar, meskipun Malaysia amat mengalu-alukan pelaburan, namun tidak menggadaikan prinsip dan tegas dalam pendirian terkait isu geopolitik dunia di samping Malaysia tidak tunduk pada provokasi, syarat dan tekanan semata-mata demi perjanjian perdagangan.
Dalam pada itu, Anwar sempat mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rwanda, Paul Kagame dan rakan sejawat dari Jordan, Bisher Khasawneh dalam dua sesi berbeza semalam.
Pada masa masa, Anwar juga mengetuai delegasi Malaysia dalam Dialog Strategi berkaitan ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).- UTUSAN










