Sijil perakuan nikah etnik Rohingya tertera perkataan Jakim disiasat

Sijil perakuan nikah etnik Rohingya tertera perkataan Jakim disiasat

SIJIL perakuan nikah melibatkan etnik Rohingya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dakwaan sijil perakuan nikah melibatkan etnik Rohingya seperti tular di media sosial memaparkan perkataan dipercayai merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan disiasat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, setakat ini pihaknya masih belum memperoleh sebarang maklumat berhubung perkara itu dan akan mendapatkan penjelasan terlebih dahulu sebelum mengulas lebih lanjut.

“Nanti kita siasat, saya tak dapat lagi maklumat berkenaan perkara itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia (PePSSM) Kali Ke-2 Tahun 2026 di sini hari ini.

Zulkifli berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sijil nikah etnik Rohingya yang dipercayai memaparkan perkataan dipercayai merujuk kepada Jakim termasuk nombor siri.

Terdahulu, tular di media sosial sekeping surat perakuan nikah yang didakwa dikeluarkan oleh Majlis Ulama Rohingya Malaysia, memaparkan perkataan JAKIM.PERH/LN.800-7(5), sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kaitan nombor siri berkenaan dengan Jakim.

Setakat ini belum ada penjelasan rasmi daripada Jakim mengenai maksud perkataan yang tertera pada dokumen tersebut.

Pada 15 Jun lalu, media melaporkan Jabatan Agama  Islam Perak (JAIPk) menegaskan bahawa ‘Kad Perakuan Nikah’ yang dikeluarkan atas nama Persatuan Ulama Masyarakat Rohingya Malaysia bukan dokumen yang diiktiraf jabatan itu.

Pengarahnya, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, ketika ini pernikahan komuniti etnik Rohingya tidak boleh didaftarkan kerana melibatkan isu dasar yang sedang diperhalusi oleh pihak berkuasa agama negeri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN