IPOH: Pengamal media Perak merakam kenangan indah apabila berpeluang melaksanakan ibadah korban bersama Persatuan Penduduk Taman Lapangan Jaya di sini hari ini.
Lembu korban itu disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Jurugambar Media Mulia Sdn. Bhd., Muhamad Nazreen Shah Musthafa, 34, berkata, dia bersyukur dan gembira apabila hasratnya untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun ini akhirnya tercapai.
“Apabila dipelawa untuk sertai ibadah korban pada tahun ini, saya memang tidak mahu lepaskan peluang, ini adalah kali pertama saya melaksanakan korban.
“Terima kasih kepada ADUN Sungai Rapat kerana menyumbangkan seekor lembu untuk pengamal media di Perak. Saya sangat gembira dan bersyukur,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Korban Perdana Persatuan Penduduk Taman Lapangan Jaya bersama ADUN Sungai Rapat di Taman Lapangan Jaya di sini hari ini.
Ketua Biro Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad pula menyifatkan ibadah korban pada tahun ini berbeza apabila menjadi peserta yang mengambil bahagian pada program korban.
“Sebelum ini, saya hanya membantu melapah daging lembu tapi kali ini saya sendiri menjadi peserta.
“Syukur proses penyembelihan dan agihan daging korban kepada media di Perak berjalan lancar. Diharap ibadah korban yang dilaksanakan ini diterima Allah,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Nizar berkata, persatuan penduduk dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat menerima agihan 17 ekor lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha.
Beliau berkata, pemberian kepada persatuan-persatuan penduduk dan surau terpilih itu bagi membolehkan lebih ramai asnaf serta golongan kurang berkemampuan mendapat agihan korban.
Katanya, keutamaan diberikan kepada tempat kurang haiwan sembelihan korban serta persatuan-persatuan penduduk yang aktif.
“Masjid-masjid di dalam DUN Sungai Rapat ini kebanyakan haiwan sembelihan melebihi lapan ekor. Jadi kita berikan sumbangan lembu korban ini kepada surau-surau dan taman-taman perumahan di DUN ini.
“Kita juga berbesar hati menyumbang kepada rakan-rakan media di Perak. Ini merupakan sumbangan pertama untuk media di negeri ini,’ katanya. – UTUSAN