TELUK INTAN: Kerja-kerja membersihkan saliran air termasuk anak sungai giat dijalankan di Kampung Bahagia di sini bagi mengelakkan kejadian banjir berulang terutama ketika musim tengkujuh dan fenomena air pasang besar.
Tinjauan di Sungai Kerawai berhampiran Kampung Bahagia mendapati kerja-kerja pembersihan dilakukan menggunakan jentera berat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), susulan kawasan itu pernah dilanda banjir sebelum ini.
Penduduk yang ditemui berasa lega dengan tindakan proaktif pihak berkuasa dalam menangani masalah banjir lebih awal dan berharap usaha penyelenggaraan itu akan diteruskan secara berkala bagi mengelakkan banjir berulang di masa hadapan.
Seorang penduduk Kampung Bahagia, Harun Ishak, 82, berkata, kerja-kerja membersihkan anak sungai dan parit berhampiran rumahnya telah menunjukkan kesan positif.
“Hujan lebat tiga hari berturut-turut pagi dan malam tetapi air di parit sebelah rumah saya tak naik seperti sebelum ini.
“Sebelum ini setiap kali musim tengkujuh, air sungai akan melimpah ke halaman rumah dan masuk ke dalam rumah. Namun usaha membersihkan saliran berjaya mengelak banjir,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini kejadian banjir di Kampung Bahagia berpunca air sungai melimpah di kawasan yang rendah menyebabkan longkang dipenuhi air sungai dan membimbangkan selepas beberapa kawasan di bandar ini pernah dinaiki air ketika kejadian air pasang besar pada 2014.
Antara kawasan rendah yang sering terjejas banjir semasa musim hujan di sini termasuk bandar Teluk Intan, Kampung Bahagia, Kampung Beca, Kampung Esso dan beberapa kawasan lain.-UTUSAN.










