PETALING JAYA: Impian skuad berbasikal trek pecut lelaki negara untuk beraksi di Kejohanan Dunia di Santiago, Chile bulan depan berkecai selepas gagal menepati masa kelayakan dalam ujian pemilihan di Velodrom Nasional, Nilai, kelmarin.
Dalam sesi penentuan yang berlangsung Khamis lalu, trio negara terdiri daripada Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis dan Mohd Akmal Nazimi Jusena merekodkan 44.44 saat (s), namun tersasar 0.5s daripada masa sasaran 43.9s yang ditetapkan Pengarah Teknikal Kebangsaan, John Beasley.
Kelewatan sekelip mata itu sudah cukup untuk meranapkan peluang mereka, sekali gus menyaksikan hanya ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri akan menggalas cabaran Malaysia secara bersendirian di Santiago.
Ketua jurulatih kebangsaan, Harnizam Basri mengakui keputusan tersebut sukar untuk diterima, namun menegaskan ia sebahagian daripada strategi jangka panjang skuad trek negara.
Beliau menegaskan skuad pecut lelaki enggan sekadar menjadi pelengkap jadual, sebaliknya mahu memberi tumpuan penuh kepada cabaran lebih besar iaitu Sukan SEA di Thailand hujung tahun ini.
“Catatan masa mereka kurang setengah saat daripada standard 43.9s yang ditetapkan. Memang mengecewakan, tetapi ia sekurang-kurangnya mendedahkan tahap sebenar mereka ketika ini dan itu juga sesuatu yang positif.
“Walaupun berdasarkan ranking mereka layak, kami tidak mahu menghantar hanya untuk cukup syarat. Masa 43.9s adalah aras lapan terbaik pusingan pertama Kejohanan Dunia. Jika tidak mencapai tahap itu, peluang mara ke peringkat seterusnya sangat tipis,” kata Harnizam kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Harnizam berkata, fokus kini beralih kepada Nurul Izzah yang bakal berentap dengan pelumba handalan dunia termasuk dari Jepun dan Britain.
“Persiapan Izzah berada di landasan tepat. Sasaran kami adalah dia dapat memperbaharui rekod peribadi dalam acara 200 meter (m) pecut.
“Bagi keirin pula, sasaran realistik adalah mara ke suku akhir. Jika berjaya ke separuh akhir sudah cukup baik, manakala melangkah ke final dianggap bonus besar buat pasukan,” katanya.
Malaysia kini melalui empat edisi berturut-turut tanpa pungutan pingat sejak kali terakhir Datuk Azizulhasni Awang meraih dua gangsa menerusi keirin dan pecut pada Kejohanan Dunia 2020 di Berlin, Jerman. – UTUSAN










