Nelayan harap dapat guna jeti baharu tahun ini

Nelayan harap dapat guna jeti baharu tahun ini

ZAINI Ali (kanan) menunjukkan keadaan jeti yang rosak di Pengkalan Nelayan Parit Penghulu, Serkat di Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Komuniti nelayan di Pengkalan Nelayan Parit Penghulu, Serkat, di sini, berharap pembinaan jeti yang tertangguh sejak tujuh tahun lalu dapat di­siapkan tahun ini.

Bendahari Pakatan Nelayan Pengkalan Penghulu, Zaini Ali, 42, berkata, lebih 100 orang nelayan di pengkalan tersebut mengharapkan pembinaan jeti berkenaan disegerakan demi keselamatan mereka yang membawa hasil tangkapan.

Katanya, cadangan pembinaan jeti baharu sepanjang 120 meter dengan kos RM1 juta itu telah dibawa bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada tahun 2018.

“Selain jeti, turut akan dibina ialah wakaf, sebuah kantin dan bengkel membaiki enjin bot dengan kelebaran jeti 3.5 meter atau 11 kaki mengikut pelan,” katanya semalam.

Menurutnya, perkara tersebut juga telah dibangkitkan semasa sesi libat urus bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan beberapa agensi lain pada bulan Mac lalu.

Tambah Zaini, memandangkan telah terlalu lama projek tersebut tertangguh, nelayan berharap tiada lagi alasan untuk kerja-kerja pembinaannya dilewatkan lagi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan berkata, iklan bagi tawaran kerja-kerja pembinaan jeti tersebut telah dibuka pada 15 Julai dan ditutup 20 Ogos lalu.

Katanya, ketika ini sedang dilakukan penilaian oleh Jawatankuasa Pemilihan Tender sebelum pemilihan dilakukan bagi memilih mereka yang berjaya.

“Kerja-kerja pembinaan dijangka akan bermula pada bulan November tahun ini dengan kos kira-kira RM1.4 juta berbanding kos asal RM1 juta seperti mana yang diumumkan sebelum ini.

“Kelewatan pembinaan jeti ini juga disebabkan peruntukkan awal yang diberikan tidak mencukupi dan memerlukan peruntukkan tambahan daripada Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan” katanya.

Beliau berkata, kos terbaharu ini hanya untuk membina jeti baharu sepanjang 120 meter.

“Ia tidak termasuk elemen tambahan lain seperti wakaf, kantin dan bengkel membaiki enjin bot,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×