HULU TERENGGANU: Ketibaan musim buah gelugur memberikan pendapatan tambahan penduduk di Kampung Tapah, dekat sini, dengan menghasilkan asam keping atau asam gelugur.
Seorang penduduk, Halijah Ali, 65, berkata, sejak 20 tahun lalu dia tidak ketinggalan memproses buah gelugur apabila tibanya musim antara Jun hingga Ogos pada setiap tahun.
Menurut warga emas yang mempunyai seramai 11 cucu itu, dia mampu memperoleh pendapatan sekitar RM300 hingga RM500 semusim hasil jualan asam keping yang dihasilkannya.
“Pada musim tahun lepas saya proses lebih 10 kilogram asam keping yang dijual RM20 secupak atau sekitar 500 hingga 600 gram.
“Selain jiran tetangga, biasanya komuniti dari kampung-kampung sekitar yang datang membeli. Saya lebih gemar memproses buah gelugur bagi dijadikan asam untuk dijual berbanding menjual buah tersebut.
“Prosesnya cukup mudah. Buah gelugur masak dibelah atau dipotong lalu dibersihkan dengan air bagi hilangkan getah dan kemudiannya dijemur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tapah, di sini semalam.
Tambah Halijah, proses menjemur mengambil ambil masa antara tiga hingga lima hari bergantung kepada cuaca dan asam gelugur yang telah kering perlu disimpan dalam bekas tertutup bagi elak berkulat sekali gus pastikan lebih tahan lama.
Bagi seorang lagi penduduk, Zainab Musa, 49, berkata, dia cuma menjual buah gelugur diperoleh daripada penduduk sekitar dengan harga RM60 hingga RM70 untuk 100 biji.
“Selain asam keping, buah gelugur yang belum diproses juga mendapat pemintaan dalam kalangan pembeli kerana mereka ingin memprosesnya sendiri di rumah.
“Bagaikan satu tradisi bagi penduduk kampung di sini apabila tibanya musim buah gelugur, rata-rata pekarangan rumah penduduk meriah dengan aktiviti menjemur asam keping,” ujarnya.
Katanya lagi, kaedah salai juga boleh digunakan sekiranya cuaca tidak mengizinkan untuk menjemur namun ia dikatakan sedikit sebanyak akan jejaskan rasa apabila dimasukkan dalam masakan. – UTUSAN











