Penahanan Pengerusi sebuah produksi filem bukan berkaitan sumbangan politik - Utusan Malaysia

Penahanan Pengerusi sebuah produksi filem bukan berkaitan sumbangan politik

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dakwaan yang tular mengenai penahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang Pengerusi produksi filem berkaitan sumbangan politiknya kepada sebuah parti di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak benar.

Sebaliknya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penahanan yang dilakukan terhadap lelaki berkenaan adalah bagi membantu siasatan selepas seorang ahli perniagaan bergelar Datuk disyaki memiliki dana yang meragukan dan terlibat aktiviti pengubahan wang haram ditahan menerusi Op 82S pada Isnin lalu.

Azam berkata, dia antara tiga individu termasuk ahli perniagaan berkenaan yang disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Kita (SPRM) tahan dia bagi bantu siasatan membabitkan dana yang meragukan yang dimiliki ahli perniagaan itu dan bukan seperti yang ditularkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketika ditanya Utusan Malaysia sama ada wang tunai di dalam akaun bernilai RM38.2 juta yang dibekukan serta kereta mewah yang disita SPRM milik Pengerusi produksi filem itu, Azam menafikan perkara itu.

Tegas beliau, siasatan SPRM terhadap keseluruhan pemilikan aset yang dirampas itu membabitkan nilai RM211 juta itu disyaki milik Datuk yang disiasat.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 36 saat memaparkan dakwaan pemilikan aset termasuk wang dan kereta mewah itu milik kepada Pengerusi produksi filem berkenaan.

Video berkenaan turut mendakwa lelaki berkenaan individu yang rapat dengan Anwar selain mempersoa adakah dia memberi sumbangan dana kepada Pakatan Harapan.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan sekutunya ditahan dengan wang tunai RM38 juta, emas seberat anggaran 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 kereta mewah dalam Op 82S yang diadakan besar-besaran Isnin lalu.

Operasi besar-besarana itu disertai Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasa Malaysia – Multi Agency Task Force (MATF) yang diketuai oleh SPRM melumpuhkan satu sindiket rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN