Pegawai MBSA didenda RM7,000 - Utusan Malaysia

Pegawai MBSA didenda RM7,000

MBSA
AZLAN Dollah tiba di Mahkamah Sesyen bagi menghadiri perbicaraannya dekat Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang Pegawai Tadbir Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) didenda RM7,000 selepas mengaku salah menerima sejumlah wang berkaitan tender kerja perkhidmatan pembersihan awam yang dilakukannya sembilan tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Anita Harun menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Azlan Dollah selepas menukar pengakuannya terhadap empat pertuduhan.

Tertuduh berusia 47 tahun itu mengaku salah atas pertuduhan pilihan pertama dan mengaku melakukan kesalahan bagi pertuduhan pilihan kedua hingga keempat yang hukumannya diambil kira (TIC) bagi sabitan pertuduhan pilihan pertama.

Berdasarkan pertuduhan, Azlan didakwa menerima RM2,000, RM10,000, RM17,000 dan RM7,000 melalui cek daripada seorang lelaki tanpa sebarang balasan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan tugas rasminya sebagai Pegawai Tadbir di MBSA Cawangan Kota Kemuning.

Jumlah wang tersebut didakwa mempunyai kaitan dengan tender perkhidmatan pembersihan awam di Seksyen 32 dan kesalahan tersebut dilakukan antara Jun hingga Julai 2014 dekat sebuah cawangan bank di Seksyen 15, Shah Alam.

Justeru, bapa kepada empat anak itu didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165, Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Peguam mewakili tertuduh, Azizzul Shariman Mat Yusoff yang dibantu Nur’ain Shahiera Khalid bagaimanapun merayu mahkamah mengambil kira faktor pengakuan tertuduh terhadap pertuduhan dihadapinya yang mengurangkan kos serta memendekkan masa prosiding.

“Perbicaraan masih berjalan dan belum selesai, namun tertuduh membuat pengakuan salah wajar diambil kira kerana tak perlu lagi mendengar saksi-saksi, hujahan dan menjimatkan masa mahkamah. Mohon faktor mitigasi ini diambil kira.

“Selain itu, kesalahan ini juga pertama kali dilakukan oleh tertuduh ketika berusia 38 tahun. Namun disebabkan itu, tertuduh digantung tugas dan menerima separuh daripada gaji bulanannya dan dalam masa sama perlu menanggung empat anak masih bersekolah dan menuntut di institusi pengajian tinggi.

“Tertuduh merupakan penanggung tunggal dan sejak menghadapi pertuduhan dia sekeluarga terpaksa berpindah ke kampung di Sungai Petani, Kedah untuk mengurangkan kos sara hidup. Tertuduh juga merupakan pekerja cemerlang selama berkhidmat 22 tahun di MBSA.

“Tertuduh hampir pasti dibuang daripada perkhidmatan perkhidmatan awam, justeru dia akan kehilangan saguhati, hilang skim pencen dan faedah lain selepas berhasrat untuk bersara lebih awal pada 2021, namun belum diputuskan sementara menunggu keputusan mahkamah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras bagaimanapun, memohon mahkamah mengambil kira kes yang dilakukan berat dan 23 orang saksi sudah dipanggil sepanjang perbicaraan.

“Mohon hukuman setimpal yang memberi pengajaran kepada tertuduh dan juga orang lain pada masa hadapan,” ujarnya.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM7,000 terhadap tertuduh dan tiga bulan penjara jika gagal membayarnya.

Terdahulu, Azlan ketika kali pertama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 27 Julai 2021 mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM36,000 tujuh tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya