PETALING JAYA: Seramai 22 saksi dirakam percakapan berkaitan kekecohan membabitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini, pihaknya menerima empat laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu.
“Kita merakam percakapan 22 saksi terdiri daripada empat pengadu, 12 pegawai imigresen, empat pegawai polis bantuan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dan pekerja syarikat ejen pelancongan.
“Kita juga meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Bagaimanapun menurut beliau, setakat ini kes tersebut belum lagi diklasifikasikan mengikut mana-mana seksyen kesalahan dengan kertas inkuiri polis (KEP) dibuka.
“KEP bagi kes ini akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk pandangan dan sebarang keputusan,” kata beliau.
Sebelum ini, King Sing dalam kenyataan menyifatkan tindakan beliau ke KLIA bagi membongkar ‘peristiwa’ memalukan selain mendakwa wujud budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa kronik.
Menteri itu mengakui gambar tular dalam media sosial berhubung isu itu adalah beliau dan tindakannya didakwa selepas menerima aduan daripada pelancong.
King Sing memberitahu, beliau pergi ke KLIA bagi memahami situasi pelancong asing itu selain ia pemantauan biasa bagi seorang menteri untuk turun padang.
Kejadian itu turut tular dalam media sosial apabila menteri terbabit dikatakan masuk ke ruangan itu tanpa memohon pas keselamatan.
Perbuatannya didakwa bagi ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik sahaja tiba di lapangan terbang. – UTUSAN










