Menggaji warga asing: MBSP keluar 60 notis, 22 kompaun sehingga bulan lalu - Utusan Malaysia

Menggaji warga asing: MBSP keluar 60 notis, 22 kompaun sehingga bulan lalu

MBSP menjalankan rampasan dan sitaan terhadap lima buah premis dan menutup 18 buah premis lain di sekitar Seberang Perai, Pulau Pinang yang disyaki menggajikan warga asing untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 60 notis kesalahan dan 22 kompaun dikeluarkan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) terhadap premis yang disyaki menggajikan warga asing untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Datuk Bandar MSBP, Datuk Azhar Arshad berkata, notis dan kompaun itu dikeluarkan selepas 76 pemeriksaan dijalankan terhadap premis berkaitan sepanjang tempoh terbabit.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu juga, MBSP telah menjalankan rampasan dan sitaan terhadap lima buah premis dan menutup 18 buah premis yang lain.

AZHAR ARSHAD

“Sepanjang tahun 2021 hingga takat ini, sebanyak 227 buah premis telah diambil tindakan penguatkuasaan dengan jumlah pembatalan lesen sebanyak 22 lesen.

“Dalam hal ini, MBSP merupakan salah satu pihak berkuasa tempatan (PBT) yang aktif dan komited dalam menjalankan tindakan penguatkuasaan khususnya di premis-premis yang terdapat warga asing.

“Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan secara berkala akan diambil dari semasa ke semasa agar isu ini dapat diselesaikan dan pemilik premis juga dapat mematuhi undang-undang yang telah dikuatkuasakan oleh MBSP,” katanya ketika sesi Mesyuarat Majlis Penuh ke-589 MBSP, di sini hari ini.

Terdahulu, katanya, satu operasi pemeriksaan premis telah dijalankan di Taman Pelangi, Perai dekat sini, semalam yang melibatkan 17 buah premis.

Katanya, dalam pemeriksaan tersebut, sebanyak 13 notis kesalahan dan 10 kompaun telah dikeluarkan melibatkan kesalahan beroperasi tanpa lesen yang sah daripada MBSP dan menggaji warga asing.

Tambah beliau, MBSP sebelum ini juga telah menjalankan tindakan penguatkuasaan di Taman Pelangi, Perai, pada 12 April melibatkan pengeluaran tiga notis kesalahan dan satu kompaun selain penguatkuasaan pada 21 Mei lalu, terhadap sebuah premis dengan mengeluarkan satu notis kesalahan.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kerana isu penggajian warga asing yang ditularkan di laman sosial sebelum ini turut membantu kepada tindakan penguatkuasaan warga asing.

Bagaimanapun, kata beliau, orang awam yang menularkan perkara tersebut harus bertanggungjawab dengan tidak membuat pelbagai tuduhan yang tidak berasas terhadap MBSP.

“Dalam hal ini juga, MBSP sedang meneliti dari segi tindakan undang-undang terhadap tuduhan-tuduhan yang telah dibuat,” ujar Azhar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya