Makmal haram proses dadah dibongkar, dua lelaki tempatan ditahan - Utusan Malaysia

Makmal haram proses dadah dibongkar, dua lelaki tempatan ditahan

KHAW Kok Chin (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dari satu sindiket dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, George Town hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang membongkar makmal haram memproses dadah jenis heroin selepas menahan dua lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan di Simpang Ampat, Nibong Tebal, dekat sini dan di Bandar Baharu, Kedah, Jumaat lalu.

Dalam operasi terancang bermula kira-kira pukul 10 malam Jumaat dan berakhir 7 pagi semalam itu, polis turut merampas dadah bernilai RM135,250 serta pelbagai peralatan memproses dadah di sebuah rumah yang dijadikan makmal dadah di Bandar Baharu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, menerusi serbuan pertama, polis menahan dua suspek yang merupakan penganggur berusia 27 dan 30 tahun di Simpang Ampat.

”Kedua-duanya yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau membabitkan dadah serta jenayah ditahan di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah restoran dan kedua-duanya disyaki terlibat dalam aktiviti memproses dadah.

”Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan tersebut menemukan 22 bungkusan heroin seberat 10 kilogram (kg) dan syabu (6.25 gram) yang kesemuanya bernilai RM135,250,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Kok Chin, susulan penahanan dua suspek itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah tidak berpenghuni dipercayai menjadi makmal memproses dadah di Bandar Baharu, Kedah.

”Dadah jenis heroin ini dipercayai diproses di rumah terbabit dan dua suspek tersebut kemudian akan mengedarkannya untuk pasaran tempatan,” katanya.

Tambah beliau, hasil risikan mendapati sindiket itu telah bergiat aktif sejak awal tahun ini dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas tersebut boleh digunakan oleh 20,000 orang sekiranya terlepas ke pasaran.

”Polis kini sedang mengesan beberapa lagi ahli sindiket tersebut yang dipercayai turut mempunyai kepakaran memproses heroin dan mereka disyaki masih berada di sekitar Pulau Pinang serta negeri jiran.

“Siasatan mendapati sindiket itu mendapatkan bekalan dadah daripada negara jiran sebelum memprosesnya di rumah di Bandar Baharu,” katanya.

Kok Chin berkata, kedua-dua lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga 28 Julai ini dan kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya