GEORGE TOWN : Polis Pulau Pinang berjaya membongkar satu lokasi yang dipercayai digunakan sebagai stor pembungkusan dadah jenis serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang dianggarkan bernilai lebih RM1.1 juta hasil empat serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, dalam serbuan tersebut, tiga lelaki bersama seorang wanita tempatan yang berusia antara 30 hingga 33 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, serbuan itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bermula malam kelmarin hingga awal pagi semalam.
Katanya, antara yang dirampas dalam serbuan berkenaan termasuk enam peket plastik hitam berisi serbuk disyaki dadah MDMA seberat 69.4 gram serta tiga beg plastik berjenama Chagee mengandungi 225 peket kecil dadah sama dengan berat 2.90 kilogram (kg).
“Selain itu, polis turut menjumpai tiga botol plastik berpenutup mengandungi dadah disyaki jenis MDMA dengan berat 4.16 kg, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah seberat 7.13 kg,” katanya di sini, hari ini.
Azizee berkata, siasatan awal mendapati, sindiket terbabit aktif sejak awal tahun ini dan jumlah dadah yang dirampas pula boleh digunakan oleh kira-kira 50,000 orang atau untuk 50,000 kali penggunaan.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek yang ditahan pula mendapati, seorang daripada mereka positif dadah jenis amphetamine manakala tiga lagi suspek bebas daripada pengaruh dadah.
“Semakan lanjut mendapati, tiga daripada tangkapan itu mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah. Kesemua mereka kini direman selama lima hari bermula semalam hingga 27 September ini untuk siasatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, polis turut menyita lima buah kenderaan dan barang kemas yang dianggarkan bernilai RM417,325 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Katanya, antara yang disita ialah sebuah kereta jenis Lexus bernilai RM245,000; dua buah Perodua Myvi (RM103,000), sebuah Toyota Altis (RM45,000) dan sebuah motosikal Honda RS (RM4,200) selain satu set barang kemas bernilai RM20,125.
“Secara keseluruhannya, nilai rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM1,558,189. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.-UTUSAN










