Luqman janji lepas jawatan dalam Muda jika hilang deposit  - Utusan Malaysia

Luqman janji lepas jawatan dalam Muda jika hilang deposit 

LUQMAN LONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Luqman Long berjanji akan melepaskan semua jawatannya dalam kepimpinan parti itu sekiranya gagal mendapatkan semula deposit calon dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Ketua Penerangan Muda itu berkata, hasrat untuk melepaskan semua jawatan di peringkat kepimpinan tertinggi Muda adalah sebagai tanda bahawa beliau serius menggalas cabaran itu di Terengganu.

“Komitmen ini adalah untuk menunjukkan saya benar-benar serius masuk bertanding ke Terengganu bukan untuk main-main atau sekadar masuk untuk pecah undi.

“Tapi saya masuk bertanding PRN dengan matlamat yang sangat  serius mahu menang dan berada dalam barisan kepimpinan DUN Terengganu selepas ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Semalam, tular di media sosial mengenai janji Luqman yang mahu melepaskan jawatan sekiranya gagal memperoleh satu per lapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

DUN Bandar mempunyai seramai 22,057 pengundi berdaftar pada PRN kali ini.

Daripada jumlah itu, seramai 14,698 orang adalah pengundi Melayu, Cina (6,951) India (259) dan lain-lain (149).

PRN kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru untuk DUN Ladang iaitu Luqman yang menentang penyandang, Ahmad Shah Mohamed daripada Pas dan calon Barisan Nasional (BN) Armi Irzan Mohd.

Mengulas lanjut, Luqman yang juga Pengarah Pilihan Raya Muda berkata, ahli dan penyokong akar umbi Muda tidak perlu mempersoalkan kesetiaannya terhadap parti sekiranya hilang deposit dalam PRN ini.

“Ada jawatan atau tidak, saya akan tetap bersama-sama terus berjuang dalam parti untuk memastikan negara kita mempunyai tadbir urus yang baik, telus dan jujur seperti yang diimpikan Muda selama ini.

“Komitmen ini juga adalah satu mesej kepada calon lain bahawa setiap satu ruang dan peluang untuk kamu wakili parti, gunalah peluang itu betul-betul,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DUN Bandar dimenangi oleh Ahmad Shah Mohamed dari Pas yang menewaskan penyandang sebelum itu, Azan Ismail (PH) dan Toh Seng Cheng (BN) dengan majoriti 2,091 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya