Lupus hutang peneroka RM8.3b hanya atas kertas?

Lupus hutang peneroka RM8.3b hanya atas kertas?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Isu melupuskan sebahagian pinjaman pene­roka Felda sebanyak RM8.3 bilion yang diumumkan pada 2021 didakwa hanyalah atas kertas dan tidak dilaksana seperti dijanjikan.

Memberitahu Utusan Malaysia, bekas Ahli Lembaga Pengarah Felda, Datuk Nazri Ngah mendakwa, tindakan itu lebih kepada meman­cing undi peneroka bagi hadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.

Beliau yang juga bekas Pe­­ngerusi Jawatankuasa, Hal Eh­wal Felda, Koperasi, Usa­ha­wan dan Hal Ehwal Peng­gu­na Pahang mendakwa, pe­neroka waktu itu memang su­dah dimaklumkan amaun hutang yang akan dihapus kira namun wang tidak disalurkan kerajaan kepada Felda.

“Kerajaan pada waktu itu tidak membawa proses (melupuskan hutang peneroka) ke Kabinet, tiada kertas kerja tentang perkara itu.

“Sekarang baru terbongkar dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa bawa kertas kerja ke Kabinet maksudnya dalam bajet untuk Kerajaan Pusat menghapuskan hutang peneroka Felda.

“Untuk itu, Kerajaan Perpaduan ketika ini terpaksa menyalurkan RM1 bilion setiap tahun untuk tempoh selama 10 tahun kepada Felda bagi memastikan kelangsungan agensi terbabit termasuk menghapuskan hutang peneroka,” katanya di sini semalam.

Jumaat lalu, sewaktu Hari Peneroka Felda, Anwar mendakwa langkah melupuskan hutang peneroka tidak dibuat oleh Kerajaan PN sebelum ini dan perkara itu berterusan sehingga beliau mengambil alih kerajaan.

Kelmarin, Muhyiddin menyifatkan tuduhan Anwar yang mendakwa beliau tidak melaksanakan pelupusan hutang peneroka Felda sebagai satu pembohongan besar.

Bekas Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, pelupusan hutang peneroka Felda yang dilaksanakan ketika beliau mengetuai Kerajaan Persekutuan pernah disahkan sendiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di Parlimen pada 23 Februari lalu di mana perkara itu dilaksanakan pada 2021.

Pada 2021, Muhyiddin ketika itu sebagai Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.

Persetujuan itu mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcara proses penjanaan semula atau restart Felda.

Sementara itu, Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar pula mendakwa, isu pelupusan hutang peneroka pada 2021 langsung tidak membabitkan duit kerajaan, hanya di atas kertas.

Beliau mendakwa, Felda waktu itu tersilap dengan melaksanakan pelupusan ini dengan tergesa-gesa dan menyebabkan tidak adil kepada ramai peneroka terutama mereka yang setia, patuh serta tidak berhutang dengan agensi terbabit.

“Golongan ini gigit jari, memang terdapat janji dari pihak Felda, tetapi ia tiada hitam putih yang jelas.

“Waktu itu bagi rata-rata peneroka yang hutang banyak memang gembira, padahal merekalah yang gagal mengikuti arahan agar tidak berhutang selaras konsep elak berhutang seperti diuar-uarkan Felda pada era awal tahun 20-an,” katanya.

Beliau mendakwa, penjelasan kepada peneroka tentang pelupusan hutang juga tidak berlaku, penyata yang lengkap tiada malah semua dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

“Pengurusan di peringkat rancangan Felda dipaksa segerakan urusan ini, peneroka Felda atau waris tidak bersedia, semua ikut arahan dari ibu pejabat, akur sahaja,” dakwanya.

Pengerusi Biro Sosial dan Kebajikan Felda Wilayah Jengka, Razak Daud pula berkata, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Perpaduan kerana meneruskan janji bagi menghapuskan 80 peratus hutang peneroka.

“Kita harap ia disertakan dengan bukti dan penyata lengkap tentang hutang peneroka yang akan dihapus kira.

“Apa dilakukan kerajaan (hapus hutang) adalah usaha yang baik bagi membantu peneroka, cuma kita harap ia tidak indah khabar dari rupa dan tidak hanya di atas kertas semata-mata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×