JOHOR BAHRU: Inisiatif Payung Rahmah yang dilaksana Kerajaan Perpaduan sejak April lalu telah berjaya memberi manfaat kepada seramai lebih 1 juta rakyat negara ini, khususnya golongan B40.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, jumlah penerima manfaat itu direkodkan selepas 100 hari pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Menurut beliau, walaupun pada awalnya ia bermula sebagai usaha kecil menangani kenaikan kos sara hidup, namun terus mendapat sokongan sehingga hari ini.
“Satu berita gembira, KPDN telah mengenal pasti lebih satu juta rakyat Malaysia yang menerima manfaat secara langsung daripada pelaksanaan inisiatif Payung Rahmah sejak dimulakan pada April lalu hingga semalam.
“Jadi saya yakin usaha kita dalam menyediakan Pelan Ekonomi Rahmah dengan kerjasama beberapa industri yang terus menerus memberikan sokongan terhadap inisiatif ini.
“Pelan ekonomi yang akan melengkapkan inisiatif Payung Rahmah itu dijangka akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal bulan depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif Payung Rahmah Bersama Zero Healthcare Sdn. Bhd. di pusat beli belah Paradigm Mall, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo.
Dalam majlis berkenaan, Salahuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Pulai melancarkan dua produk kesihatan keluaran syarikat tersebut yang dijual pada harga Rahmah di kesemua 45 cawangan mereka di seluruh negara.
Mesin kerusi urut yang pada asalnya dijual dengan harga RM2,999 sebelum ini telah diturunkan harganya menjadi RM1,999, manakala mesin berlari (threadmill) pula dijual pada harga RM899 berbanding harga asal iaitu RM2,988. – UTUSAN










