PETALING JAYA: Seramai 42,946 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian peringkat diploma di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi kemasukan sesi Julai 2023 menerima wang pendahuluan pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Kata tabung pendidikan itu, wang pendahuluan tersebut berjumlah RM1,500 diberikan kepada setiap pelajar yang layak untuk menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar memasuki IPTA dengan peruntukan berjumlah RM64.42 juta.
“PTPTN sentiasa berusaha membantu serta menjaga kebajikan pelajar yang akan memasuki IPTA dengan menyediakan wang pendahuluan pinjaman.
“Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, PTPTN sentiasa berusaha membantu ibu bapa dan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian sekali gus komited memastikan tiada pelajar yang tercicir kerana masalah kewangan,” menurut kenyataan itu.
Sejak wang pendahuluan pinjaman PTPTN diperkenalkan pada 1999 hingga 31 Mei 2023, seramai 969,046 pelajar telah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.43 bilion.
Wang pendahuluan ini diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima wang ini semasa memohon melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan IPTA, ibu bapa atau penjaga pelajar merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Bagi kemasukan pelajar sesi Julai 2023, pelajar boleh membuat semakan tawaran wang pendahuluan melalui portal rasmi PTPTN dan boleh tunaikan wang tersebut di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 18 Julai 2023 dengan membawa surat tawaran WPP serta MyKad pelajar.
Tempoh sah laku wang pendahuluan pinjaman adalah selama dua bulan bermula 18 Julai 2023 hingga 18 September 2023.
Para pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap IPTA untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya dan perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).
Para pelajar boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPT masing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan. – UTUSAN










