PETALING JAYA: Usaha memperkasa wanita perlu dilaksanakan menerusi pelbagai platform dan dibuat secara menyeluruh tanpa mengira latar belakang pendidikan atau kerjaya seseorang.
Pengurus Pengiklanan dan Promosi KWC Fashion Wholesale, Wendy Lam berkata, ia penting bagi mengoptimumkan potensi individu dan tidak bergantung kepada satu-satu pihak sahaja.
Justeru pihaknya memperkenal program pencarian bakat khusus dalam bidang peragaan bagi menyahut seruan kerajaan memperkasa agenda wanita khususnya dalam bidang berkenaan.
“Program ini yang dinamakan pencarian KWC Model kali keempat dan melibatkan ratusan wanita menyertai pertandingan tersebut sejak tahun 2018.
“Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada wanita muda menonjolkan bakat masing-masing dan membina keyakinan diri, malah ia juga sebagai platform untuk memperkasakan wanita bukan sahaja mereka yang tidak mendapat pendidikan tinggi atau mereka bekerjaya dalam bidang fesyen, kecantikan dan hiburan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Program pencarian kali keempat ini menerima lebih daripada 300 penyertaan dengan pelbagai aktiviti diadakan termasuk pertandingan dengan tawaran hadiah RM10,000 kepada para pemenang.
“Ia terbuka kepada semua wanita Malaysia yang memiliki bakat istimewa dan minat yang mendalam dalam bidang fesyen, kecantikan dan peragaan,” ujarnya. – UTUSAN









