SHAH ALAM: Penyanyi, Korie, susut 16 kilogram dalam tempoh kurang dua bulan akibat sakit buah pinggang tahap tiga.
Penyanyi lagu Pergilah Sayang itu mula diserang sesak nafas pada Ogos 2021 dan dimasukkan ke hospital sebanyak tiga kali untuk rawatan.
Sehingga ini, Korie atau nama sebenarnya Azahari Aminuddin, 54, bergantung sepenuhnya kepada kaedah rawatan alternatif di samping melakukan diet bersesuaian.
“Semasa pandemik 3.0 saya diserang sesak nafas. Kali pertama dan kedua masuk ke hospital, doktor kata saya ada penyakit refluks gastroesofagus (Guerd)
“Kali ketiga saya saya masuk ke hospital kerana strok dan barulah hospital nampak ada kerosakan buah pinggang.
“Setakat ini, saya masih di tahap yang belum perlu menjalani rawatan dialisis. Jadi, saya cuba mencari perubatan alternatif dulu dan melakukan diet. Tidak boleh salah makan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sidang media Asli Battle of the Bands.
Adik kepada Ella itu turut mendedahkan, sebelum ini, dia terpaksa menolak beberapa tawaran persembahan kerana sakit yang dihidapinya.
“Sakit ini tidak mengganggu suara. Cuma dari segi pernafasan memang mengganggu sehingga saya terpaksa hadkan untuk nyanyi dua lagu sahaja sebab takut tumbang.
“Dua tahun ini memang banyak kerja yang saya tolak. Saya tampung hidup dari kutipan royalti. Cuma saya pergi juga bekerja sebab nak cari rezeki buat anak.
“Saya pula bapa tunggal, jadi kena kuat untuk teruskan hidup,” katanya lagi
Korie sedang dalam perancangan untuk menghasilkan dua single yang bakal menemui pendengar bulan hadapan.
Terkini, penyanyi itu dilantik sebagai ketua juri bagi pertandingan nyanyian Asli Battle of the Bands.
Sesi ujibakat akan bermula pada 26 Ogos membabitkan 74 penempatan orang asli di lima daerah sekitar selangor.
10 kugiran terbaik dalam kalangan orang asli akan berentap di pentas akhir yang akan berlangsung pada 22 September 2023 di Auditorium Dewan Jubli Perak, Shah Alam.