PETALING JAYA: Keuntungan bersih Solar District Cooling Group Berhad (SDCG) meningkat 40.9 peratus kepada RM6.04 juta untuk tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2025 berbanding RM4.29 juta pada tahun sebelumnya.
Prestasi keuntungan yang lebih kukuh itu disokong oleh sumbangan operasi yang lebih tinggi.
Ia juga didorong oleh ketiadaan perbelanjaan penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) sekali sahaja sebanyak RM2.30 juta yang ditanggung pada 2024 semasa penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 19 September 2024.
Pengarah Urusan SDCG, Edison Kong berkata, 2025 menandakan tahun penyatuan dan pelaksanaan strategik untuk SDCG susulan penyenaraian kumpulan itu.
“Pertumbuhan kukuh dalam segmen BMS menunjukkan keupayaan teknikal kami dan penerimaan pasaran yang semakin meningkat.
“Pada masa yang sama, kami telah menyediakan asas penting dalam mengembangkan sistem fotovoltaik solar di bawah model perjanjian pembelian kuasa, meletakkan kumpulan untuk aliran pendapatan berulang,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, bagi tempoh tersebut, kumpulan mencapai hasil kumulatif sebanyak RM27.85 juta, menandakan peningkatan 9.9 peratus daripada RM25.33 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Peningkatan itu sebahagian besarnya disokong oleh peningkatan ketara dalam pendapatan segmen Sistem Pengurusan Bangunan (BMS), yang meningkat kepada RM23.61 juta, mencerminkan momentum pelaksanaan projek yang mantap sepanjang tahun.
Ini terutamanya daripada projek syarikat penerbangan dan projek berkaitan kerajaan di Putrajaya, di samping pengiktirafan kemajuan daripada projek berterusan yang dijadualkan siap pada tahun kewangan akan datang.
Menjelang masa hadapan, beliau berkata, SDCG kekal fokus untuk melaksanakan strategi pengembangannya dari 2024 hingga 2027.
“Ini termasuk pengembangan ibu pejabatnya di Kajang, peningkatan peralatan dan kelengkapan untuk meningkatkan produktiviti, menaik taraf keupayaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan meningkatkan perniagaan fotovoltaik solar (PV) di bawah model Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA).
“Kumpulan telah pun memeterai Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) di Melaka dan meningkatkan bilangan pelanggan PPA sepanjang tahun kewangan,” ujarnya.
Bagaimanapun, kumpulan merekodkan PAT berjumlah RM2.13 juta untuk suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2025 berbanding RM2.70 bagi tempoh sama tahun sebelum.
Selain itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku tersebut adalah RM2.70 juta berbanding RM3.27 juta pada tempoh sama tahun sebelum.
Bagi suku itu, SDCG mencatatkan hasil sebanyak RM9.64 juta, mewakili peningkatan 4.2 peratus berbanding RM9.25 juta pada suku yang sama tahun lepas, didorong terutamanya oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada segmen BMS. – UTUSAN










