Kesatuan Imigresen mahu siasatan menyeluruh, adil

Kesatuan Imigresen mahu siasatan menyeluruh, adil

KHAIRIL NIZA KHAIRUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) mahu siasatan menyeluruh dan adil dijalankan berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan segelintir pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Khairil Niza Khairuddin berkata, pengurusan tertinggi jabatan berkenaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah pun memberi jaminan untuk memberi kerjasama dalam menyiasat isu tersebut.

“Kita serah kepada pengurusan tertinggi Jabatan Imigresen dan KDN. Ini jaminan yang diberi oleh Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah jabatan ini sendiri.

“KPISM menyokong penuh keputusan satu siasatan yang menyeluruh dan adil serta saksama,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, mana-mana pegawai Imigresen yang didapati masih mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa perlu dikenakan tindakan segera dan tegas.

Perdana Menteri berkata, kelompok kecil itu yang masih berasa selesa dengan cara lama tidak boleh menjejaskan keseluruhan kerjaya, imej jabatan penjawat awam dan negara keseluruhannya.

Beliau yang meninjau di KLIA kelmarin bagi melihat pengoperasian kemasukan warga luar ke negara ini, bagaimanapun mengakui semua kaunter berfungsi dengan baik dan kakitangan imigresen menjalankan tugas dengan baik.

Sebelum ini, negara digemparkan dengan dakwaan seorang Menteri, Datuk Seri Tiong King Sing menyalahgunakan kuasanya apabila didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan pelawat China yang ditahan.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu menafikan tuduhan bahawa kekecohan tersebut timbul kerana dirinya.

Sebaliknya menyifatkan kehadirannya ke KLIA membongkar satu peristiwa memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

Dalam masa sama, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim turut menyifatkan, kegiatan rasuah dalam Jabatan Imigresen Malaysia perlu ditangani segera kerana ia merupakan punca berlakunya lambakan warga asing dan pendatang haram dalam negara.

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) turut menggesa siasatan bebas dan telus dilaksanakan terhadap dakwaan rasuah di KLIA yang menegaskan isu rasuah membabitkan pegawai Imigresen di KLIA serta penganiayaan terhadap pelancong bukan perkara baharu dan ia tidak membabitkan pengembara dari China semata-mata. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN