PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan ditadbir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan tidak akan tumbang walau apa pun keputusan pilihan raya di enam negeri, bulan depan.
Bekas penasihat DAP, Tan Sri Lim Kit Siang berkata, ramalan bahawa kerajaan Persekutuan tumbang jika parti-parti kerajaan kalah dalam pilihan raya negeri (PRN) adalah mengarut dan setakat cakap-cakap kosong.
Selain itu, katanya, janji daripada pemimpin parti-parti politik Sabah dan Sarawak untuk tidak menumbangkan kerajaan Persekutuan menunjukkan situasi itu tidak akan berlaku, walaupun pembangkang Perikatan Nasional (PN) berfikir ke arah itu.
“Sebaliknya, kemenangan untuk Kerajaan Perpaduan Anwar akan mengukuhkan dan menjayakan usaha untuk menetapkan semula serta mengembalikan negara kita kepada prinsip asal pembinaan sebuah Malaysia yang majmuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini yakin yang gabungan itu boleh menang sekurang-kurangnya 33 kerusi dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.
“Tetapi, gabungan PN juga yakin untuk membentuk Kerajaan Negeri Selangor akan datang. Perkara sama juga terpakai di Pulau Pinang yang mana Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kata bahawa PN boleh menang hampir 20 kerusi di Pulau Pinang dan tidak menolak kemungkinan menjadi Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“Namun, apa yang jelas, tidak kiralah apa pun keputusan enam PRN pada 12 Ogos ini, kerajaan di peringkat persekutuan tidak akan tumbang,” katanya. – UTUSAN











