JERLUN: Kenaikan harga beras sejak kebelakangan ini didakwa ‘dicipta’ oleh pihak-pihak yang menguasai industri berkenaan bermula dari sektor pengilangan hingga ke peringkat peruncit yang memerlukan perhatian khusus kerajaan.
Pengerusi Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia, Mohamad Termizi Yop berkata, kilang-kilang besar secara hakikatnya memonopoli pembelian padi menerusi pembayaran insentif kepada broker, sekali gus melenyapkan kilang-kilang kecil terutama yang dimiliki bumiputera.
Katanya, perkara itu sudah beberapa kali dibangkitkan kepada kementerian terlibat namun tiada tindakan diambil hingga mereka kini terpaksa mengharapkan ihsan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan.
“Semasa Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) masih wujud, setiap kilang beras yang berhajat membesarkan kapasiti mereka perlu mendapat kelulusan. Tetapi selepas LPN tiada, setiap pengilang bebas membesarkan kapasiti sesuka hati mereka.
“Maka pengilang-pengilang ini guna khidmat orang tengah atau broker bagi mempengaruhi petani menjual padi kepada mereka. Broker biasanya dibayar antara RM150 hingga RM200 bagi setiap metrik tan padi yang dijual kepada kilang tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di salah sebuah kilang milik bumiputera yang sudah tidak beroperasi di Kampung Permatang Paku, Ayer Hitam, di sini semalam.
Mohamad Termizi berkata, kilang-kilang besar turut menyediakan mesin padi dan pelbagai kemudahan kepada broker untuk ‘mengikat’ petani agar menjual padi kepada mereka.
“Jadi perbelanjaan ditanggung kilang itu tinggi dan dalam keadaan mereka menjadi kartel dengan menguasai semua bahagian daripada pengilangan, pemborong hingga peruncit, sudah tentu mereka mahu semua kos-kos itu ditanggung melalui kenaikan harga beras,” katanya.
Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa persatuan itu, Musonnef Md. Radzi berkata, monopoli kilang-kilang besar yang membentuk kartel itu akhirnya ‘membunuh’ kilang-kilang kecil yang kebanyakannya dimiliki golongan bumiputera hingga menyebabkan mereka sukar bersaing mendapat bekalan padi.
“Kilang-kilang kecil biasanya memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 metrik tan semusim untuk beroperasi bagi menampung gaji pekerja dan sebagainya tetapi ketika ini, nak dapat 700 atau 800 metrik tan pun payah kerana petani terikat dengan broker bagi menjual padi mereka kepada kilang tertentu.
“Ketika ini di seluruh negara hanya terdapat 10 saja kilang beras 100 peratus dimiliki orang Melayu yang masih mampu beroperasi sedangkan sewaktu LPN masih wujud dulu, terdapat kira-kira 103 kilang yang bernaung di bawah persatuan ini,” katanya. – UTUSAN











