Kemasukan Tesla mampu cetus pelajar minat STEM - Utusan Malaysia

Kemasukan Tesla mampu cetus pelajar minat STEM

STESEN hab pengecasan pantas EV Tesla yang terletak di tempat letak kereta di sebuah kompleks membeli-belah terkemuka di Kuala Lumpur. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Inisiatif Pe­neraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) membawa masuk kenderaan Tesla dijangka dapat memberi peluang pekerjaan di negara ini selain wajar dijadikan sebagai satu inspirasi kepada bakal graduan terutama bidang kejuruteraan dan teknologi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Asasi STEM Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Laili Che Rose berkata, untuk menjadi graduan bidang tersebut, pelajar bagaimanapun perlu meminati bidang Sains, Matematik, Teknologi dan Kejuruteraan (STEM) ketika di peringkat sekolah rendah, menengah seterusnya universiti.

“Tidak dinafikan minat pelajar kepada STEM semakin hari semakin menurun. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak memainkan peranan untuk mengajak lebih ramai pelajar meminati bidang STEM.

“Untuk menarik minat, adalah penting untuk pelajar sendiri faham apa itu STEM dan memahami aplikasi ilmu STEM dalam kehidupan seharian. Rakyat perlu disedarkan tentang kepentingan ilmu STEM.

“Kesedaran ini akan dapat dibuat apabila mereka yang berperanan sebagai tenaga pengajar memberitahu pelajar ke­gunaan setiap ilmu STEM dalam kehidupan seharian. Jawapan-jawapan kepada setiap kejadian, apa, mengapa dan bagaimana dapat diberikan dengan jelas akan membuka minda pelajar terhadap apa yang berlaku dan mengaitkan dengan ilmu STEM,” katanya.

Kelmarin Tesla Sdn. Bhd. (Tes­la) mengumumkan pengemba­ngan strategiknya ke dalam pasaran negara ini.

Ia termasuk import kende­raan yang menyaksikan syarikat komited memperkenal barisan kenderaan elektrik seperti Model 3 dan Model Y untuk pasaran tempatan dengan dijual pada harga bermula daripada RM199,000.

Jelas Laili, program outreach, turun padang pihak universiti kepada komuniti sekolah dilihat penting untuk membuka mata murid seawal di sekolah rendah.

Malah katanya, universiti yang mempunyai kepakaran perlu sama-sama hulurkan tangan untuk mengajak lebih ramai komuniti sekolah memilih STEM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN