PETALING JAYA: Kira-kira 80,000 Visa Luar Negara (VLN) dipercayai telah diluluskan tiga pegawai agensi penguat kuasa di sebuah Suruhanjaya Tinggi yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana bersekongkol dengan agensi pekerjaan untuk membawa masuk rakyat Bangladesh bekerja di Malaysia sejak 2021.
Hasil kegiatan yang dilakukan sejak Disember 2021 itu, kesemua mereka dipercayai telah mengutip wang rasuah dengan jumlah lebih RM100 juta hasil menerima bayaran sekitar RM1,000 ke RM2,000 (USD 300 ke USD 500) bagi setiap kelulusan permohonan VLN sedangkan pembayaran visa yang ditetapkan oleh kerajaan hanya RM105 sahaja.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, VLN yang telah diluluskan telah disalah guna oleh warga Bangladesh yang memasuki negara ini kononnya untuk tujuan melancong namun ada sebahagian daripada mereka menyalahgunakan visa berkenaan untuk bekerja dan terus menetap di sini.
Kata sumber itu, tangkapan terbaru yang dilakukan SPRM semalam adalah membabitkan seorang pegawai penguat kuasa berpangkat M44 dengan seorang pengarah urusan sebuah syarikat pembekal tenaga kerja.
“Setakat ini, sebanyak 14 saksi telah dipanggil SPRM bagi membantu siasatan.
“Selain itu, SPRM juga telah membekukan pelbagai aset dan wang tunai RM4 juta yang diperoleh kesemua suspek,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kedua-dua lelaki berusia lewat 30-an itu ditahan pukul 6.30 petang semalam ketika diminta hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya.
Tangkapan tersebut menjadikan pegawai agensi penguatkuasa ketiga yang telah ditahan untuk membantu siasatan Op Taka yang dilancarkan pada April lalu oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia.
Susulan penahanan tersebut, Majistret Mageshwary A/P Muniandy telah membenarkan kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga 31 Julai ini setelah pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Shah Alam semalam.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Kata beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.
Pada 20 April lalu, dua pegawai agensi penguatkuasa yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Bangladesh disyaki menerima wang rasuah bagi pengeluaran Visa Luar Negara dan kemasukan pelancong serta pekerja Bangladesh ke negara ini.
Lebih 20 akaun bank membabitkan individu dan syarikat berkaitan sudah dibekukan.
Hasil daripada itu pembekuan akaun dan penyitaan harta alih dan tidak alih membabitkan penyitaan lapan bidang tanah dianggar berjumlah kira-kira RM3.1 juta telah dilakukan. – UTUSAN










