‘Kau ada nampak beg aku tak?’ - Utusan Malaysia

‘Kau ada nampak beg aku tak?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Salam sejahtera kepada seluruh pembaca sekalian. Di sini aku ingin kongsikan satu kisah seram. Cerita ini berlaku ketika aku bertugas sebagai pembantu perubatan di sebuah hospital yang terletak di utara tanah air tidak lama dulu.
Nama hospital tersebut biarlah aku rahsiakan, takut akan memberi kesan atau imej yang tidak baik pula. Namun, aku percaya apa yang berlaku kepadaku hanyalah kes terpencil kerana tidak semua individu mengalami pengalaman sebegini.
Sebagai petugas di hospital, aku bukanlah dikategorikan sebagai seorang penakut atau lemah semangat.
Sudah pelbagai kategori pesakit yang aku jumpa, ada yang cedera parah, ada yang sedang bertarung nyawa, dan pelbagai situasi lagi.
Alhamdulillah, semuanya aku dapat kendalikan dengan sebaik mungkin.
Baiklah, berbalik kepada kisah yang ingin aku ceritakan. Kejadian tersebut berlaku sekitar tahun 2000. Waktu itu aku bertugas pada syif malam. Begini ceritanya…
Malam itu aku terpaksa bertugas di wad kecemasan kerana menggantikan salah seorang staff yang mengambil cuti kecemasan.
Tugas tersebut bukanlah sesuatu yang asing bagiku kerana sebelum ini pun aku pernah beberapa kali bertugas di situ kerana menggantikan staf yang cuti, cuma di wad kecemasan ini situasinya lain sedikit, sentiasa sibuk berbanding wad lain.
Hampir tiga jam berada di wad, sudah berbagai pesakit yang datang, termasuklah mangsa kemalangan, mangsa pergaduhan dan pesakit-pesakit kronik.
Baju putih yang ku sarung tadi juga sudah kusam, malah terdapat juga kesan tompokan darah di sana sini. Mungkin kerana aku banyak membantu mangsa kemalangan yang datang tadi.
Hampir pukul 1 pagi aku lihat keadaan sudah semakin reda. Wad kembali tenang tanpa kehadiran tetamu. Terus aku ke tandas membasuh muka dan membersihkan anggota tubuh.
Di tempat begini kena utamakan kebersihan kerana risiko terkena jangkitan amatlah tinggi. Dan yang paling utama aku sendiri memang berasa tidak selesa.
Setelah selesai aku melangkah menuju ke wad. Aku lihat beberapa pesakit sedang terbaring di katil . Mungkin sudah tidur akibat kesan ubat agaknya.
Suasana persekitaran cukup sunyi. Aku jeling ke arah pintu wad yang sedikit terbuka. Kelihatan seorang lelaki sedang berdiri di satu sudut. Wajahnya nampak sugul dan resah seolah ada sesuatu yang tidak kena.
“Siapa pula yang datang malam-malam ini,” bisikku dalam hati. Tanpa berfikir panjang aku terus menuju ke arah lelaki tersebut.
Ingin juga aku bertanya dari mana datang dan apa yang dicarinya kerana di waktu begini pesakit tidak dibenarkan merayau di sekitar wad.
“Assalamualaikum, pakcik cari apa di sini?” Tanyaku perlahan dengan harapan suaraku tidak mengganggu pesakit lain yang sedang nyenyak tidur.
Lelaki itu seakan tidak mengendahkan pertanyaanku.
Matanya masih melilau ke kiri ke kanan seolah mencari sesuatu. Aku pandang dengan teliti.
Fikirku dia bukanlah pesakit atau petugas di situ kerana memakai pakaian biasa.
“Pakcik, pelawat tidak dibenarkan berada di wad waktu begini. Waktu melawat sudah lama habis. Kalau pengawal nampak nanti susah pula,” sambungku lagi.
Lelaki yang ku agak berusia lewat 50-an itu masih tidak memberi sebarang respon. Kelakuannya masih seperti tadi. Meninjau ke sana sini dan sesekali membongkokkan badan mengintai di bawah katil seperti mencari sesuatu.
“Kau ada nampak beg aku tak? Semalam aku tinggalkan dekat sini, tapi sekarang dah tak ada,” katanya sedikit garau.
Aku garu kepala. Beg mana pula yang dicarinya fikirku dalam hati.
Di waktu yang sama aku juga meninjau ke arah katil yang ditunjukkan. Melilau mataku mencari ke sana ke sini kalau-kalau terlihat beg kepunyaannya.
“Tak ada pula nampak apa-apa beg kat sini. Bila pakcik tinggalkan?” tanyaku lagi.
“Semalam,” jawabnya sepatah.
Aku angguk kepala tanda faham. Fikirku mungkin lelaki tersebut merupakan penghuni katil di hadapanku ini sebelum pesakit baru mendaftar masuk.
“Saya pun tak pasti barang-barang pakcik ini di mana sebab baru malam ni saya bertugas di sini.
“Nanti saya cuba tanya staff di kaunter hadapan, mungkin mereka simpan di mana-mana agaknya. Pakcik tunggu di luar sebentar ye,” kataku sambil meminta diri keluar.
Sampai sahaja di kaunter hadapan aku terus sahaja bertanyakan tentang beg yang dicari oleh lelaki itu.
Setelah memberi nombor wad dan nombor katil, rakan setugasku Maria terus memeriksa di fail hadapannya.
Selepas meneliti nama-nama pesakit yang di fail yang dipegangnya, dia lantas merenungku dengan dahi berkerut. Nampak raut wajahnya yang sedikit cuak dan serba-salah.
“Betul ke kau ada jumpa lelaki di wad tu tadi?” Tanyanya lagi meminta penjelasan.
“Betul kak Maria, rasanya dia ada tunggu kat luar wad tu,” jawabku jujur.
Wanita yang ku panggil kak Maria itu kelihatan cemas sambil menarik lenganku supaya merapatinya.
“Ini ke orang yang kau jumpa tadi?” Tanyanya kepadaku sambil menunjukkan beberapa foto yang terdapat dalam fail di tangannya.
Aku amati dengan teliti sambil menganggukkan kepala. Iya, benar memang lelaki tersebutlah yang aku jumpa sebentar tadi.
“Err, setahu akak lelaki dalam gambar ini bernama Idris. Dia dah meninggal dunia semalam.
“Jenazah dan barang-barang peribadi dia ada di kaunter bilik mayat. Jenazah pun belum dituntut lagi rasanya,” kata Maria dengan wajah tidak keruan.
Aku kelu tanpa sepatah kata. Tidak tahu bagaimana aku ingin membalas kata-katanya sekali. Aku pasti tak mungkin dia berbohong. Malah lelaki yang ku jumpa tadi memang sama dengan gambar yang baru ditunjukkan kepadaku itu.
Aku duduk di kaunter hadapan bersama Maria sehingga ke pagi. Tak berani rasanya untuk aku kembali ke arah wad tersebut.
Tak putus-putus aku berdoa agar hari cepat siang, sekurang-kurangnya dapat meredakan ketakutan aku ketika itu.
Keesokannya aku demam gara-gara kejadian yang menimpa malam itu. Hampir tiga hari juga aku terlantar kerana lemah semangat.
Setelah sihat dan kembali bertugas aku jadi takut untuk melewati wad yang meninggalkan sejuta kenangan pahit buatku itu.
Aku terasa seolah lelaki yang ku temui pada malam itu masih berada di situ sambil memerhatikan gerak geriku.
Peristiwa tersebut membuatkan aku trauma untuk bertugas pada syif malam. Jika bertukar syif sekalipun seboleh-bolehnya aku cuba mengelak untuk bertugas di wad tersebut.
Namun aku tahu lambat laun aku pasti akan berada di situ juga, Cuma tak tahu bila tarikhnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya