Jualan Rahmah bergerak disambut baik golongan B40

Jualan Rahmah bergerak disambut baik golongan B40

FUZIAH Salleh (tengah) meninjau aktiviti pembelian barangan keperluan oleh pengunjung sempenan pelancaran Jualan Rahmah bergerak di Taman Ria Jaya, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Jualan Rahmah bergerak berkonsepkan kedai cari rakyat mampu mencapai sasaran sebanyak 6,440 kali jualan di seluruh negara ekoran sambutan menggalakkan daripada orang ramai sejak dilancarkan pada 17 Jun lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, sehingga kini sebanyak 133 jualan bergerak diadakan di seluruh negara selain merekodkan 1.1 juta pengunjung setakat Jun dengan nilai belian melebihi RM30 juta.

“Ini secara langsung membuktikan Jualan Rahmah bergerak diterima baik oleh rakyat pelbagai lapisan kerana kesemua barangan yang dijual diberikan subsidi sehingga potongan sebanyak 30 peratus,” katanya selepas melancarkan jualan itu di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sidam, di Taman Ria Jaya di sini hari ini.

Menurutnya, dengan kekerapan dua kali sebulan di setiap DUN di seluruh negara, pihaknya yakin 12 jenis barangan asas yang ditawarkan akan sampai terus kepada golongan sasaran B40.

“Barangan seperti ayam, daging, ikan, beras, minyak masak, telur ayam, santan, kicap, sos cili, milo dan lain-lain ditawarkan dengan harga jauh lebih rendah berbanding harga pasaran dan mampu dibeli pengunjung,” katanya.

Menurut Fuziah, KPDN akan turut mengadakan jualan di lokasi perumahan berpendapatan rendah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan kawasan perumahan yang banyak didiami golongan B40 bagi memastikan rakyat menerima secara terus subsidi bersasar.

Sementara itu, seorang pengunjung, Halimah Halim, 45, dari Taman Ria Jaya berkata, dia berharap Jualan Rahmah bergerak akan dapat diteruskan sepanjang masa khususnya di kawasan yang didiami penduduk berpendapatan rendah.

“Memang berbaloi membeli barang di sini kerana harganya jauh lebih rendah daripada jualan di pasar mini atau premis perniagaan lain.

“Jualan ini menepati aspirasi kerajaan untuk membantu kami golongan B40 mendapat keperluan asas dan dalam masa sama meringankan beban,” katanya.

Bagi Khamis Dan, 52, dia bersyukur dengan keprihatinan kerajaan menyediakan program seperti itu berbanding menetapkan premis tertentu menjual barangan asas. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN