‘Ijad kaki besi’ sedia bersaing bagi wakili negara

‘Ijad kaki besi’ sedia bersaing bagi wakili negara

SHARUL Aizad Kamarul Azhar mengayuh basikalnya di trek Hulu Kinta, Ipoh walaupun sebelah kakinya menggunakan kayi besi. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kecacatan kaki kiri akibat kemalangan motosikal pada 2018, bukan penghalang buat Sharul Aizad Kamarul Azhar untuk aktif dalam sukan lasak khususnya sukan berbasikal.

Sharul Aizad, 29, walaupun kudung kaki kiri sehingga paras lutut dan terpaksa menggunakan ‘kaki besi’, dia mampu berkayuh seperti manusia normal.

Lebih mengagumkan, dia yang dikenali sebagai ‘Ijad kaki besi’ mampu berkayuh dalam dua disiplin basikal yang berbeza iaitu basikal bukit atau MTB dan roadbike.

Menurutnya, sebelum kemalangan jalan raya yang menimpanya, dia memang terlibat dalam sukan itu namun hanya untuk aktiviti riadah hujung minggu.

“Saya ditimpa kemalangan pada 3 Ogos 2018, apabila motosikal saya terbabas. Kesan kemalangan itu kaki kiri saya terpaksa dipotong bagi mengelak jangkitan kuman.

“Walaupun kehilangan anggota badan, saya tidak mahu terus meratapi apa yang berlaku sebaliknya terus positif malah sebulan selepas tidak boleh bangun, selepas itu saya sendiri bawa kereta ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana saya tidak mahu susahkan orang lain terutama orang tua saya,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menjadikan kekurangan fizikal yang dialaminya sebagai halangan sebaliknya selepas apa yang berlaku dia lebih bersemangat dan semakin bertenaga dalam aktiviti riadah berkayuh.

Katanya, dia mampu berkayuh seperti orang normal yang lain malah menggunakan klip pedal pada kedua-dua basikalnya.

“Memang ada beza cara kayuhannya, roadbike lebih kepada endurance manakala MTB kayuhan trek hutan.

“Bagi saya tiada masalah untuk dua disiplin kayuhan ini, roadbike perlukan ketahanan fizikal kerana jarak kayuhan yang jauh manakala MTB kayuhan lasak namun ada masa untuk rehat.

“Ya, saya menggunakan klip pedal untuk basikal MTB dan roadbike. Untuk melepaskan klip pedal kaki sebelah kiri, saya menggunakan tangan, bagi memudahkan klip untuk dilepaskan, saya longgarkan sedikit klip tersebut,” katanya.

Menurutnya, selepas apa yang berlaku, dia bertambah semangat dan semakin bertenaga berbasikal, malah mampu mengikut kelajuan orang normal.

“Bagi saya, kekurangan fizikal bulan halangan untuk saya meneruskan minat dan hobi saya.

“Saya bersyukur, mungkin apa yang berlaku ada hikmahnya kerana dulu memang saya berbasikal tetapi tidak macam sekarang, lebih aktif, banyak kemajuan berbanding dahulu,” katanya.

Dia yang menetap di Gopeng dan dikenali dengan nama Izat ‘CBP’ iaitu ‘cacat bukan penghalang’ berkata, dengan kemampuan yang ada padanya, dia berhasrat untuk melangkah jauh dalam acara berbasikal.

“Bulan depan saya bercadang menyertai pemilihan untuk kejohanan kebangsaan sukan para dalam acara basikal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN