Kalsium sahaja tidak cukup lindungi kesihatan tulang

Kalsium sahaja tidak cukup lindungi kesihatan tulang

pencegahan osteoporosis tidak boleh bergantung kepada satu faktor sahaja, sebaliknya memerlukan gabungan gaya hidup sihat termasuk aktiviti fizikal dan pemakanan seimbang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai dalam kalangan masyarakat masih beranggapan pengambilan kalsium semata-mata sudah mencukupi untuk memastikan tulang kekal kuat dan sihat, terutama bagi mencegah osteoporosis.

Namun, tanggapan itu sebenarnya tidak tepat kerana kesihatan tulang melibatkan proses yang jauh lebih kompleks dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain selain kalsium.

Pakar Ortopedik, Fakulti Sains Kesihatan dan Perubatan, Taylor’s University, Profesor Madya Dr. Win Min Thein berkata, tulang bukan sekadar struktur statik yang bergantung kepada mineral, sebaliknya merupakan tisu hidup yang sentiasa mengalami proses pembentukan dan penyerapan semula.

“Ramai menyangka kalsium boleh menyelesaikan semua masalah tulang, sedangkan osteoporosis bukan sekadar kekurangan kalsium, tetapi melibatkan kehilangan jisim tulang dan kemerosotan struktur tulang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Struktur tulang sebenarnya terdiri daripada gabungan beberapa komponen penting termasuk rangka kolagen sebagai asas sokongan, sel tulang yang bertindak sebagai ‘pembina’, serta mineral seperti kalsium dan fosfat yang memberi kekuatan.

Menurutnya, tanpa sokongan struktur kolagen dan aktiviti sel tulang yang sihat, pengambilan kalsium tambahan tidak mampu memberikan kesan signifikan terhadap kekuatan tulang.

“Tulang boleh diibaratkan seperti bangunan. Kalsium hanyalah simen, tetapi tanpa kerangka yang kukuh dan kerja penyelenggaraan yang aktif, bangunan itu tetap tidak kuat,” jelasnya.

Ujar beliau, proses kehilangan jisim tulang juga berlaku secara semula jadi apabila seseorang meningkat usia, dengan kadar penurunan ketumpatan tulang dianggarkan sekitar 0.5 peratus setahun dan menjadi lebih ketara selepas menopaus.

osteoporosis boleh berlaku bukan hanya disebabkan masalah kekurangan pengambilan kalsium.

Justeru, pendekatan pencegahan osteoporosis tidak boleh bergantung kepada satu faktor sahaja, sebaliknya memerlukan gabungan gaya hidup sihat termasuk aktiviti fizikal dan pemakanan seimbang.

“Senaman beban seperti berjalan, berjoging dan latihan kekuatan sangat penting untuk merangsang pembentukan tulang. Dalam masa yang sama, hormon seperti estrogen dan testosteron juga memainkan peranan dalam mengekalkan jisim tulang,” katanya.

Beliau turut menegaskan nutrisi lain seperti protein, vitamin D, magnesium dan vitamin K juga amat penting dalam memastikan kesihatan tulang yang optimum.

“Vitamin D membantu penyerapan kalsium, manakala protein menyokong pembentukan kolagen yang menjadi asas struktur tulang,” katanya.

Dr. Min Thein berkata, penggunaan suplemen kalsium secara rutin tanpa keperluan perubatan khusus juga tidak semestinya memberikan manfaat tambahan yang besar.

Sebaliknya, beliau menasihatkan agar masyarakat memberi perhatian kepada faktor lebih asas seperti aktiviti fizikal, gaya hidup sihat dan pengesanan awal.

“Kalsium memang penting tetapi ia bukan satu-satunya kunci kepada kesihatan tulang. Pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan untuk melindungi tulang, terutama apabila usia meningkat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN