Hanya 3 kerusi BN-PH masih status bertindih - Saifuddin

Hanya 3 kerusi BN-PH masih status bertindih – Saifuddin

SAIFUDDIN Nasution Ismail dalam sidang akhbar khas di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tidak timbul isu kesukaran dalam menentukan dan menyelesaikan pertindihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), sebaliknya ia sudah hampir dimuktamadkan.

Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penentuan dan pertindihan kerusi itu sudah pun dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, malam tadi.

Beliau berkata, daripada 246 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi enam negeri itu, kini hanya tiga kerusi yang masih status bertindih.

“Apa yang susahnya, semalam sudah bincang. Daripada 246 kerusi, kini hanya tinggal tiga. Kalau susah, daripada 246 kerusi masih 240 lagi kerusi belum selesai.

“Saya tidak dapat dedahkan kerusi yang masih bertindih itu kerana ia dibincangkan antara Pengerusi PH dan BN. Saya pun tidak sempat tanya lagi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ditanya bila senarai nama penuh calon PH akan diumumkan, Saifuddin berkata, beliau belum menerima apa-apa arahan daripada Pengerusi PH.

“Selaku Setiausaha Agung, saya belum diberi makluman. Dalam soal nak mengisi nama dalam surat watikah itu, ia akan dimaklumkan Pengerusi PH dalam masa terdekat dan yang penting sebelum 29 Julai ini,” katanya.

Malam tadi, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, BN akan mengumumkan senarai calon pada 21 Julai ini.

Sementara itu, ditanya berhubung dakwaan bahawa MCA dan MIC tidak akan sokong calon PH, Saifuddin bagaimanapun enggan mengulas perkara itu.

“Itu territory (bidang) BN, saya tidak mahu komen apa-apa. Kerjasama kita (PH-BN) adalah Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Sebelum ini, timbul dakwaan MCA dan MIC mengambil keputusan tidak akan berkempen bagi calon PH, setelah kedua-dua parti itu dikatakan tidak dilayan secara adil dalam isu rundingan kerusi.

Bagaimanapun, pucuk pimpinan MCA dan MIC tidak mengesahkan mahupun menafikan dakwaan itu.

Pada 5 Julai lalu, MCA dan MIC memutuskan untuk tidak menyertai PRN dan kerusi yang diperuntukkan kepada dua parti itu kemudian diserahkan kembali kepada BN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya