Guru taska mengaku tidak bersalah abai anak asuhan - Utusan Malaysia

Guru taska mengaku tidak bersalah abai anak asuhan

ESTHER Christina Samuel Ponniah didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan meninggalkan kanak-kanak di bawah jagaannya tanpa pengawasan hingga mengakibatkan mangsa mati lemas, April lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang guru taska dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan meninggalkan kanak-kanak di bawah jagaannya tanpa pengawasan hingga mengakibatkan mangsa mati lemas, April lalu.

Tertuduh, Esther Christina Samuel Ponniah, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga ibu tunggal itu didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas V. Thanes Nair, 4, telah meninggalkan kanak-kanak itu tanpa pengawasan dan pemeliharaan untuk satu tempoh yang tidak berpatutan.

Kesalahan itu dilakukan di kolam renang di The Centro Club, Jalan Sri Klebang 2, Bandar Baru Sri Klebang di dalam daerah Ipoh pada pukul 10.20 pagi, 17 April 2023.

Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Syahirah Azahar mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-kanak 2021 yang membawa hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Gary Xavier iaitu peguam yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan sebanyak RM2,000 memandangkan anak guamnya merupakan ibu tunggal dan perlu menanggung ibu yang sudah uzur berusia 80 tahun.

Gary berkata, anak guamnya yang berpendapatan RM2,200 sebulan juga memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dan tiada risiko melarikan diri.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula.

Media pada 23 April lalu melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki menghembuskan nafas terakhir setelah tujuh hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Kejadian terjatuh ke dalam kolam renang taska itu berlaku pada hari pertama ibu mangsa menghantar anaknya ke sekolah.

Bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak itu mendapati punca kematian akibat mati otak disebabkan lemas dan kegagalan fungsi organ. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN