Gelombang memihak PN di Kedah sudah berlalu

Gelombang memihak PN di Kedah sudah berlalu

MAHDZIR Khalid (tengah) bertemu dengan sebahagian penduduk ketika berkempen sempena PRN di Kampung Kubang Kenyeng, Padang Terap. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Gelombang menyebelahi Perikatan Nasional (PN) di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) didakwa sudah berlalu apabila persaingan membentuk kerajaan negeri dijangka sengit antara gabungan itu dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau secara peribadi merasakan akan ada perubahan yang berlaku di Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.  

“Gelombang yang berlaku pada November tahun lalu memang sangat besar hingga membolehkan PN mendapat terlalu banyak undi. Tetapi dalam PRU14 iaitu sebelum gelombang itu wujud, Pas cuma menang 15 kerusi sahaja dan tidak dapat tubuh kerajaan.

“Kini gelombang dalam PRU15 sudah tiada dan kita kembali kepada keadaan asal. Jadi tanpa ada gelombang dan angin yang kuat itu, saya jangka akan berlaku saingan sengit melibatkan PN dengan BN serta PH,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kubang Kenyeng di sini, hari ini.

Sementara itu, Mahdzir yang juga calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu tekad untuk menyambung semula perkhidmatan di kawasan itu yang disifatkan terhenti seketika sebelum ini.

Menurut Pengerusi BN Kedah itu, rata-rata penduduk dahagakan perkhidmatan seorang wakil rakyat terutamanya berkaitan sentuhan yang mampu membantu mereka dalam pelbagai urusan antaranya pendidikan serta pembangunan infrastruktur di kawasan tersebut.

“Sebagai wakil rakyat kena cari mana-mana agensi atau tempat yang memiliki saluran untuk bantu rakyat. Sebagai contoh apabila mereka perlukan bantuan ketika anak-anak mula bersekolah atau daftar ke universiti, ke mana mereka ini boleh disalurkan untuk mendapatkan bantuan?

“Kesinambungan itulah yang hilang selama ini. Jadi saya menyeru penduduk di Pedu supaya memberi saya peluang untuk menyambung semula titik-titik yang hilang itu untuk rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut Mahdzir berkata, ketika ini penduduk juga mula menyedari betapa mereka tidak boleh menolak BN begitu sahaja setelah melihat perbezaan antara wakil rakyat BN dan PN yang telah diberi peluang berkhidmat di kawasan tersebut.

“Dalam PRU15, yang datang pada waktu itu bukan angin biasa-biasa sebaliknya ribut taufan yang menyebelahi PN. Penilaian untuk mengundi sudah tidak bergantung kepada khidmat tetapi lebih kepada sentimen agar terus menolak BN walau siapapun calonnya.

“Disebabkan itu saya sering ingatkan agar rakyat mengundi kerana perkhidmatan dan bukan kerana gelombang. Fikir semula apa manfaat yang mereka terima jika sekadar mengikut gelombang tanpa menilai perkara-perkara lain termasuk khidmat bakal diberikan wakil rakyat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN