Kita sering berharap seandainya waktu boleh diputar, kembali ke masa lalu, kita ingin memperbaiki semua kesalahan di masa itu.
Dengan harapan, sesuatu yang tidak kita inginkan di masa ini tidak pernah terjadi.
Namun kenyataannya, kita tidak boleh mengubah takdir dengan kembali ke masa lalu.
Yang boleh kita lakukan hanyalah menerima semua kenyataan dan berusaha memperbaiki diri.
Itulah kata-kata diluah Munira (bukan nama sebenar) seorang anak yang hidup dalam suasana hati tidak tenang dan dilanda ketegangan emosi.
Ini berikutan sehingga ke hari ini ibunya masih belum dapat menerima perbuatan silamnya.
Dalam emel yang dikirimkan kepada saya baru-baru ini Munira menulis, bagaimanapun dia tidak pernah berputus asa dan masih tetap berusaha serta mengharapkan kemaafan daripada seorang insan bergelar ibu.
Katanya, dia yang hamil anak luar nikah kira-kira enam tahun lalu bukan sahaja mengejutkan bahkan mengecewakan hati seorang ibu.
“Walaupun peristiwa itu sudah enam tahun berlalu, hubungan kami tidak pulih sepenuhnya . Masih ada sesuatu terbuku di hati ibu,” tulis Munira dalam emelnya baru-baru ini.
Katanya, sepanjang tempoh enam tahun itu pelbagai dugaan terpaksa dilalui.
Ini termasuk layanan ibu terhadap diri dan anak tak sah taraf yang dilahirkan.
Mengimbas peristiwa hitam itu, katanya keterlanjuran bersama Amran, (bukan nama sebenar) bukan sahaja telah memusnahkan cita-citanya melanjutkan pengajian ke universiti tetapi turut mengeruhkan hubungan dengan ibu.
“Jujur awalnya saya tidak kuat untuk melalui semua ini. Bukan sahaja kerana Amran enggan bertanggungjawab, ibu pula membuang saya.
“Namun atas nasihat salah seorang ibu saudara, saya kembali bangkit untuk memperbaiki diri dan masa depan,” tulis Munira dalam emelnya.
Munira sedar kehidupan dilalui ibu sebelum ini termasuk ditinggalkan suami kerana berkahwin lain sedikit sebanyak mengganggu fikirannya.
Apa lagi setelah ibu mendapat tahu, satu-satu anak kesayangan dan harapannya itu hamil luar nikah.
“Tentu sekali ibu terkejut dan tidak boleh menerima kenyataan itu.
“Ibu mungkin memaafkan saya, namun tidak akan melupakan perbuatan saya,” tulisnya lagi.
Menceritakan peristiwa lalu kata Munira, perkenalan singkatnya dengan Amran tidak disangka mengundang malang dalam hidupnya.
Lelaki itu hadir di saat dia perlukan kasih sayang seorang bapa setelah sekian lama hidup tanpa seorang lelaki.
Amran yang datang ke kampung Munira atas urusan kerja berjaya memperdayanya dengan janji-janji manis sehingga dia terlanjur dengan lelaki itu.
Munira ketika itu baru sahaja tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pelbagai janji manis ditaburkan, malah dia mengatakan akan mengahwininya, membuatkan dia percaya terhadap lelaki itu.
Dua bulan selepas itu, keputusan SPM diumunkan. Ibulah orang yang paling gembira kerana Munira mendapat keputusan cemerlang. Namun kegembiraan ibu bertukar kecewa apabila mendapat tahu Munira hamil anak luar nikah.
Munira dihalau dari rumah.
“Saya cuba mencari Amran untuk membincangkan perkara itu namun kecewa kerana dia enggan bertanggungjawab dan minta saya gugurkan kandungan.
“Seminggu selepas itu saya mendapat tahu Amran telah bertukar semula ke ibu pejabat di Kuala Lumpur,” tulisnya lagi.
Atas bantuan seorang teman, Munira menumpang sementara di rumah sewanya. Namun hanya beberapa minggu dia kembali semula ke kampung selepas mendapat tahu ibunya jatuh sakit.
Kata Munira, walaupun ibu enggan menerimanya, Munira tetap berkeras untuk menjaga dan berada di samping ibu.
“Ketika itu saya tahu ibu masih bersedih dan belum dapat menerima kenyataan kerana air matanya masih bergenang.
“Ibu tidak banyak bercakap, hanya berpesan agar tidak menggugurkan kandungan kerana tidak mahu saya melakukan dosa kali kedua,” ceritanya dalam kiriman emel itu.
Setelah kembali tinggal bersama ibu, bermulalah episod baru dalam hidup Munira.
Sepanjang tempoh kehamilan hinggalah bayi dilahirkan dan kini berusia enam tahun, sikap ibu berubah.
Ibu lebih suka menyendiri dan tidak banyak bercakap.
Katanya, sedar akan kesilapan diri dan enggan hidup dalam murka Allah dan ibu, dia sentiasa cuba mengambil hati ibunya.
Dia sering mencari kesempatan untuk memperbetul dan menjernihkan kembali hubungan mereka yang keruh.
Katanya, ada ketika ibu sukar mengawal emosi dan kata-kata kasar serta sindiran pasti keluar daripada mulutnya.
Bagaimanapun Munira tidak pernah menyimpan dalam hati dan tetap memuliakan ibunya.
“Sebelum ini ibu seorang yang lemah lembut dan penyayang. Dia berubahpun kerana saya.
“Dari gerak geri ibu sepanjang tempoh enam tahun ini, saya tahu masih terselit perasaan sayang ibu terhadap saya.
“Walaupun sebelum ini saya pernah berjanji untuk tidak menghampakannya, siapalah saya manusia biasa yang tidak lepas berbuat salah dan silap,” tulisnya.
Tambah Munira, dalam setiap sujudnya dia sentiasa memanjatkan doa agar Allah memberi kerahmatan dan keampunan daripada Allah Taala serta melembutkan hati ibu untuk memaafkannya.
Islam menganjurkan anak-anak sentiasa mendoakan kerahmatan dan keampunan ibu bapanya melalui firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ ayat 24 bermaksud:
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.










