Perbelanjaan ketenteraan Eropah, Asia melonjak ke paras tertinggi - Utusan Malaysia

Perbelanjaan ketenteraan Eropah, Asia melonjak ke paras tertinggi

KOS perbelanjaan ketenteraan melonjak di Asia dan Eropah. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STOCKHOLM: Perbelanjaan ketenteraan global mencatatkan lonjakan hampir tiga peratus pada 2025 didorong terutamanya oleh peningkatan mendadak bajet pertahanan di Eropah dan Asia.

Menurut laporan tahunan Trend Perbelanjaan Ketenteraan Dunia yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) pada Isnin, perbelanjaan pertahanan Eropah melonjak 14 peratus berbanding 2024 kepada AS$864 bilion (RM3.4 trilion).

Sementara itu, di rantau Asia-Oceania, peningkatan sebanyak 8.1 peratus direkodkan dengan jumlah AS$681 bilion (RM2.6 trilion)

Secara keseluruhan, hampir AS$2.9 trilion (RM11.45 trilion) telah dibelanjakan untuk program ketenteraan di seluruh dunia pada 2025, iaitu peningkatan 2.9 peratus berbanding tahun sebelumnya. Jumlah tersebut mewakili 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan menjadi peratusan tertinggi sejak 2009.

Amerika Syarikat (AS), China, Russia, Jerman dan India kekal sebagai penyumbang terbesar dengan menguasai 58 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan global tersebut.

Walaupun laporan itu menyatakan peningkatan tahunan ini lebih rendah berbanding lonjakan 9.7 peratus pada 2024, SIPRI menjelaskan ia berpunca daripada tindakan AS yang tidak meluluskan perbelanjaan baharu bagi bantuan persenjataan kepada Ukraine pada tahun 2025. SIPRI mengambil kira bantuan ketenteraan asing di bawah akaun negara penderma.

Bagaimanapun, jika data perbelanjaan AS dikeluarkan daripada statistik tersebut, perbelanjaan pertahanan global sebenarnya mencatatkan kenaikan lebih tinggi iaitu 9.2 peratus bagi 2025.

Setakat ini, AS kekal sebagai negara dengan perbelanjaan ketenteraan tertinggi di dunia mencecah AS$954 bilion (RM3.7 trilion), diikuti China dengan anggaran AS$336 bilion (RM1.3 trilion) dan Russia sebanyak AS$190 bilion (RM750 bilion).

Laporan itu turut mendedahkan bahawa sekutu-sekutu AS di seluruh dunia kini mendahului dalam peningkatan perbelanjaan dan menunjukkan perubahan ketara dalam landskap keselamatan global.- CNN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN