BAYAN LEPAS: Kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di pentas Perikatan Nasional (PN) di Kelantan semalam lebih kepada pertemuan bersama kumpulan yang beremosi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, ini kerana Dr. Mahathir tidak menyentuh langsung mengenai soal hutang negara dan hanya menyebut mengenai Anwar semata-mata.
”Jadi saya yakin sebenarnya rakyat boleh menilai apabila Dr. Mahathir hadir di atas pentas Pas dan Bersatu, ia lebih kepada pertemuan geng-geng emosi.
“Dia (Dr. Mahathir) tidak sentuh pun mengenai hutang negara, dia tidak bincang pun seperti yang kita bincang di sini, tetapi lebih kepada kami tidak suka Anwar,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Rafizi menghadiri sesi libat urus kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (SLU KSP RMKe-12) bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang turut disertai Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Semalam, Dr. Mahathir yang tampil berceramah di pentas PN di Kelantan menyeru rakyat untuk bersama-sama menolak Kerajaan Perpaduan yang disifatkan sebagai sebuah kerajaan yang gagal.
Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, beliau tidak akan sesekali terheret dengan permainan emosi seperti yang dilakukan Dr. Mahathir memandangkan fokus utama beliau dan Kerajaan Perpaduan ketika ini adalah untuk membantu rakyat.
“Pilihan raya ini adalah medan terbaik untuk kita membandingkan soal dasar, program dan persaingan bagi menyelesaikan masalah rakyat dan negara.
“Ia (PRN) tidak baik jika dijadikan medan untuk memainkan emosi,” katanya.
Tambahnya, beliau yakin rakyat akan membuat pilihan berdasarkan pengalaman lepas memandangkan rakyat pernah melihat sendiri bagaimana hubungan Dr. Mahathir dengan Pas dan Bersatu.
”Ia (Dr. Mahathir di pentas PN) tinggalkan kesan yang berbeza-beza, pengundi ada yang mungkin suka melihat dan ada pengundi yang mungkin mempersoalkan apa yang sudah jadi dengan prinsip dan pendirian masing masing,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai pendedahan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mana Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pernah merayu membatalkan keputusan pemilihan PKR pada 2022 selepas tewas kepadanya, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, pemimpin pembangkang itu tidak tahu bagaimana hubungannya dengan Saifuddin berlangsung.
”Isu ini tidak mendatangkan kesan langsung kepada kami berdua, Saifuddin dan saya telah kenal lama, kami boleh saling tidak bersetuju antara satu sama lain, malah saya juga ada berbeza pendapat dengan Perdana Menteri, ia perkara biasa.
”Walaupun digambarkan (dalam pemilihan) satu pertembungan besar, kami saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Selain itu, katanya, pemilihan parti PKR itu juga telah melalui prosesnya yang tersendiri dan rakyat boleh melihat sendiri kempen-kempen yang dijalankan ketika itu kerana ia dijalankan secara terbuka. – UTUSAN










