Dr. M, Muhyiddin bincang hala tuju Proklamasi Orang Melayu

Tun M, Muhyiddin bertemu bincang hala tuju Proklamasi Orang Melayu

MUHYIDDIN Yassin ketika mengadakan pertemuan empat mata dengan Dr. Mahathir Mohamad bagi membincangkan penyatuan Melayu. - FB PROKLAMASI ORANG MELAYU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seperti dijanjikan, dua bekas Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya bertemu bagi membincangkan hala tuju Proklamasi Orang Melayu.

Pertemuan empat mata selama dua jam itu dikatakan  berlangsung di kediaman Dr. Mahathir pada pukul 9 malam tadi.

Sebelum ini, Muhyiddin memaklumkan beliau akan bertemu dengan Dr. Mahathir selepas Hari Raya Aidiladha setelah bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mengakui beliau bersedia bekerjasama dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaan.

Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, perjumpaan dua tokoh pemimpin itu bakal memberi semangat baharu dalam usaha memperkasa serta menguatkan kedudukan orang Melayu ini.

“Kedua-dua tokoh pemimpin Melayu ini sanggup ketepikan segala perbezaan fahaman politik lampau demi menjaminkan kelangsungan perjuangan untuk memperkasakan kedudukan anak bangsa di bumi bertuah ini.

“Sifat terpuji Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menjadi satu sandaran baharu kepada keseluruhan orang-orang Melayu yang amat ‘dahagakan’ penyatuan atau perpaduan Melayu secara mutlak,” katanya dalam kenyataan.

Khairuddin menyifatkan pertemuan itu satu manifestasi penyatuan Melayu secara total yang sedang diusahakan oleh Dr. Mahathir demi memenuhi harapan serta impian keseluruhan orang-orang Melayu.

“Sesungguhnya, gerakan Proklamasi Orang Melayu secara ‘non partisan’ membuka pintu secara seluas-luasnya kepada mana-mana individu-individu Melayu yang bersemangat untuk bersatu-padu tanpa kira apa saja fahaman ideologi politik masing-masing.

“Sekretariat Proklamasi Orang Melayu akan mengembangkan satu daya-usaha untuk menyatupadukan keseluruhan umat Melayu secara ‘total’ seterusnya mengenal-pasti segala polemik permasalahan dan memperkenalkan formula penyelesaian ke atas setiap masalah-masalah yang membelenggu kita selama ini,” katanya.

Selain Muhyiddin, beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut mengadakan pertemuan bersama Dr. Mahathir berhubung Proklamasi Orang Melayu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN